Tuesday, December 30, 2008

aku pun hendak pergi Korea!!!

family aku akan pegi korea bulan 2 bersama family 'buruh' (sila rujuk komen2 aku). tetapi aku tidak pergi. tadi kakak aku telah uploadkan di blog beliau gambar2 anak buah aku yang sudah mengambil gambar passport. hahaha



aku juga ingin ke sana dan main salji dengan mereka. aku dengar dari belakang pintu mereka bisik2 mengenai skating dan snowboard tah ape2 lagi. cis!

aku harap aku menang grand prize pertandingan video crocs yang aku masuk hari tu.
tengok video lakonan 3 minit aku itu di sini.
(right click pada url di page tersebut dan 'save link as' jika mahu download)
tolong doakan aku ya semua.

aku mau main salji dengan Am dan Ichan.

walaupun tajuk blog ini gemuk yg optimis, kadang2 aku kecundang dengan KFC.

ok semua. aku malas nak pikir panjang2. aku tulis ala kadar je lah. sekadar nak melepaskan nafsu blogging aku. (ish..toghuut)

seperti tajuk yang di atas, aku ingin mendedahkan saat2 aku menjadi seorang pessimist. secara analoginya beginilah. jika aku lihat gelas yang ada air separuh di dalamnya, aku takkan pikir sama ada ianya half empty mahupun half full. aku akan fikir ianya harus diletakkan sirap dan ice, lantas melegakan tekak aku yang kering.

itu adalah satu sedutan ringkas berkenaan prinsip, dan statement 'si gemuk yg optimis'.
optimis dengan cara aku sendiri.

siapa yang berbangga2 bahawa badannya gemuk? selain Afdlin Shauki, aku tidak pernah jumpa orang lain. gemuk biasa dikaitkan dengan penyakit, kemalasan, seluar yang terselit di celah bontot dan banyak lagi. aku? aku pun tak pasti aku harus menyebelahi siapa.

pernah sewaktu di UTM dulu. seorang kawan menyuruh aku duduk dengan posisi 'tahyat akhir'.

aku pun buatlah, menyangkakan dia akan buat magic.

lantas dia kata 'haa tengok lutut kanan kau tak sentuh karpet. maknanya kau gemuk..
lemak terkepit celah paha.'

ohh sungguh berhelah teknik mengukur kegemukan beliau (Ladynoe. tunang kau harus bertanggungjawab!!)

aku pernah cuba diet. aku selalu juga berjogging ke kedai fast food yang terdekat.
sebenarnya..kau tahu, aku tidak kisah kau cuba sogok aku dengan friday's atau tony roma's sekalipun. jika aku bukan in the mood, aku akan tolak juga. (ada orang mahu offer?)

tapi, aku tidak tahu mengapa aku tidak mampu menahan bau KFC.
dan tiap kali aku ke kaunter KFC, hati aku akan berkata :

'cuba kau perhatikan gambar di atas..dinner plate adalah paling memuaskan. ditambah pula dengan cheesy wedges'

aku lantas menjawab 'ahh..dua ketul sudah mencukupi! tadi kan sudah makan nasi kerabu dgn solok tadi, selepas menghabiskan mee goreng sarapan pagi..sudah lupakah?'

lalu aku membayar untuk dinner plate dan cheesy wedges.

selepas aku makan ayam seketul aku biasanya akan berkata kepada adik aku 'pih, lain kali kita kena nekad! 2 ketul pun susah nak habis'
lalu adik aku akan berkata 'ya..kita takkan ikut nafsu lagi!'

begitulah trip ke KFC setiap kali.

jadi kesimpulannya, misi aku dalam menjadi optimis selalunya digagalkan oleh Colonel Sanders dengan berjaya.

aku tak dapat pastikan main point aku di sini. tapi setakat ini, itulah benda yang aku nak cerita. nafsu yang berulang2. sungguh bahaya.

jika kawan aku menyuruh aku duduk tahyat akhir sekali lagi dengan umpan belanja KFC, mungkin aku fikir 2 kali.

mari beristiqamah!

Monday, December 29, 2008

haris abadi. kau kenal?

(jika tak mau masuk campur, usah baca!)

semasa aku kecik, aku rasa nama aku sungguh pelik. aku anggap mak aku bersalah atas nama aku yang pelik ini. haris abadi. oh..aku tak dapat bayangkan bagaimana aku akan pakai name tag tertulis nama begini apabila ke pejabat kelak. betul ni aku tak tipu. memang aku rasa begitu dulu.

aku berfikir dua tiga kali apabila hendak meletak nama betul di blog. ye lah mana tau tiba2 JAIS call aku kerana aku mencarut secara pukal di blog. tapi takpelah. mungkin boleh jumpa kawan2 lama dengan pendedahan ini.

setiap kali aku pergi ke kaunter2 dan pejabat kerajaan untuk pendaftaran dan lain2, aku akan dengar soalan yang biasa dari mulut mereka 'adik ebby abadi ke?'. tolonglah siapa2 yang akan berkenalan dengan aku nanti jangan tanya soalan yang sama, kerana aku rasa nak ambik marker dan tulis di pipi mereka 'EBBY ABADI HANYALAH NAMA GLAMOUR BELIAU'.

setiap kali aku dengar lagu rock kapak pula, ada saja perkataan 'abadi' dalam lirik. cuba kau fikirkan satu. mesti ada. aku sudah bosan, tiap2 kali perkataan 'abadi' berkumandang, kawan aku akan berpaling secara mengejut ke arah aku dan membuat gaya 'tupai yang kaget terlihat lampu kereta yang menuju laju'. buat biasa sudah la.

semasa aku belajar di UTM dulu, ada seorang kawan telah menggunakan nick 'haris abadi' untuk account yahoo beliau. sampai la ke sekarang. dah 9 tahun?!!
aku plan dalam minggu ni aku akan pegi ke wangsa maju dan mengutip royalty dari beliau. jadi sesiapa yang pernah berkenalan dengan haris abadi di dalam alam cyber, itu bukan aku. aku tidak suka2 menggatal di internet. hahaha

cikgu matematik aku semasa darjah 4, cikgu zamrah, suka panggil aku dengan nama haris forever dulu. ingat saya batman ke cikgu? tapi dia cool. kelakar.

semasa aku bersekolah di pasir mas, kawan2 aku panggil aku bedi, dengan tanda sabdu pada huruf B. berbunyi bbedi seperti dalam contoh ayat berikut :
"hello..bbedi? mukasurat berapo khijo skoloh?"


dalam umur 13, aku mula suka dengan nama aku. sungguh bangga.

skarang kau kenal siapa haris abadi?

=p/s aku selalu menganggap jika kita senyum dan mengucapkan 'terima kasih' kepada penjaga tol yang berlainan seramai 100 orang, kita akan mendapat nasib baik.

Sunday, December 28, 2008

kau ingat mamak tu friendly ke?

perkara ini pernah terjadi dulu. kawan aku berjalan ke kaunter mamak untuk membayar. juga menuju kaunter, seorang lelaki (lelaki A) berjalan mendahului member aku dan berdiri di depan kaunter untuk membayar.

lelaki A menghulurkan kertas yang bertulis jumlah yang perlu dibayar.


mamak menekan2 butang mesin cashier sambil melihat kertas.

Mamak : duduk mana?

Lelaki A : (sambil membelek2 balang gula2) hah?

Mamak : duduk mana?

Lelaki A : Taman Pulai Utama.


Mamak : ....


Mamak : meja mana duduk?

Lelaki A : oh.. aa meja hujung sana..


member aku telah menggigit kolar baju untuk menahan perasaan.

ok, sesetengah mamak memang friendly. tetapi tidak semua.
lebih baik berhati2.

habis hujung minggu, habis setahun.

bangun lewat hari ni. cis.

semalam aku sungguh letih pergi menjual tshirt. ya, aku bikin dan jual tshirt sekali sekala. pergi ke Borneo semalam dgn adik aku dan James Baung untuk menjalankan misi yang diamanahkan.

rupanya event utamanya adalah battle of the band. Butterfingers cuma artis jemputan yang akan main 2,3 lagu di hujung acara saja. jadi, dari awal event aku sudah tahu fan2 butterfingers hanya akan muncul di akhir rancangan. confirm.
Kadak adjustkan kami meja yang kecik, dan terletak di sudut entrance. di sebalik banting 'twisties' yang sama besar dengan aku. kami rasa sungguh terpinggir, dan sales juga sungguh kurang. namun, niat kami adalah untuk berseronok dan melihat2 orang. wang ringgit adalah bonus. hehe

battle of the band tersebut berakhir awal. jadi butterfingers pun main awal. aku ternampak kelibat seperti Lee tapi aku tidak tegur nanti memalukan pula jika salah orang.

setelah habis lagu terakhir, bogus pun sampai dengan Amal. hahaha inilah padahnya jika niat anda hanya untuk melihat performance butterfingers SAHAJA. haha sori bogus.

namun akhirnya aku berjumpa Lee secara live. sebelum ini aku anggap Lee adalah software ataupun perisian2 yang generate komen2 bernas dan wujud di dalam blog sahaja. rupanya beliau adalah manusia biasa. jadi, disebabkan beliau adalah manusia biasa, kami sempat bergambar. jadi ini pertama kali aku berjumpa kawan yang dikenali dalam blog.



Lee (kiri) adalah penganut butterfingers tegar seperti bogus (tengah). namun beliau sudah 7 tahun tidak menonton butterfingers LIVE dan akhirnya inzal di Borneo, Sunway tempoh hari (dia yang cakap mcm tu)
hari ini aku tiada point2 sinikal ataupun ilmiah. hanya tulisan berbetuk diari.

p/s : memang lemak2 di pipi aku akan berkepit2 semasa aku sengih. kau tak perlu komen.

Thursday, December 25, 2008

dadah memang bahaya..bahaya (suara bergema)

aku sekarang tengah cuba berterus terang sebaik mungkin.

blogging memang addictive. macam dadah. sape yang nak berjinak2 tulis blog lupakanla weh. aku serius ni.

ish bahaya la senang cerita.

aku rasa macam hisap dadah dalam entry ni. depan aku ada seorang budak. budak tu adalah aku.

---------------

(bilik yang berasap)

aku : kenapa la kau hisap gak benda ni haa..srottttt

aku kecik
: tah la bang. mula2 saya tengok mamajawa yang hisap. lepas tu akab. macam best je bang. sapa tak nak bang. dapat kawan, dapat perhatian.

aku : tapi kau awal lagi ni..berenti la. bukan susah. aku pun nak berenti la kejap lagi. srottttt (kamera zoom in)

aku kecik : susah bang. saya dah isap ngan ramai orang. diorang pun baik bang. datang bilik saya isap. kadang2 saya takde pun diorang datang isap. sue anna joe pun penah datang hisap kat sini bang.

aku : hah! sue anna joe? yang tegar tu? laki dia pun hisap kan? kau ye-ye je dia datang bilik kau? sape cakap?

aku kecik : ye bang. sape tu..naf..sape..yang pakai spek tu..yang slalu bagi duit kat penagih2 tu..nuffnang..haa..nuffnang.

aku : eh..si nafneng tu kenapa dok amik tau pasal orang. nak kena. aku rasa dia informer la. abih tu..takkan sebab tu kau taknak berenti? uhuk! uhuk!

aku kecik : ye la bang. kita manusia. nakkan perhatian bang. bukan sebab si anna sorang je. si perempuan jomblo tu..siap tulis kat bilik dia, cakap saya tokan. mana tak bangga bang. ramai datang dari bilik dia skarang.

aku : ye..aku paham, aku paham. teruskan..teruskan..kawan lama?

aku kecik
: kawan lama takyah cerita la bang. semua jadi penagih. datang menghisap kat shoutbox. si lee tu hari2 datang. jusoh bedil lagi.

aku : aku dah stone ke aa? kau ada cakap shoutbox? prrrrrrr..

aku kecik
: ada kotak dalam bilik saya, saya panggil shoutbox. saya pun sekarang rajin, pegi bilik sini, pegi bilik sana. hisap sini hisap sana. saya manusia bang. tak boleh lari. dekat bilik mana2 pun hisap. nak menang. satu bilik 4,5 kali sehari.

aku : kotak? hisap dalam kotak? gila ke ape. nak mati lemas. kau tutup ke kotak tu masa hisap?

aku kecik
: itu tak penting bang. come on la bang. jangan merapu.

aku : tah la aku pun tak tau nak cakap. budak2 sekolah pun semua hisap sekarang. tarik pun tak reti kadang2. menyampah aku. kau jangan la jadi tegar sangat.

aku kecik : ye la, saya cuba. bak sini dapur tu. srtttttttt..tapi bang. jangan terkejut. bekas tabligh pun ada. berpengalaman bang. terer hisap. srttttt (mula melihat unicorn di sekeliling bilik)

aku : ye..ye.. suka hati kau la nak hisap ape pun. kerja sekolah jangan lupa buat dah. ingat Allah. malu la aku nak bagi nasihat. kau pegi tukar air jap.

aku kecik
: ye. baiklah.

--------

harap maklum berkenaan metafor dalam entry ini. (metafor je, you fool!)

ngantuk sial.

untuk mereka yang bosan dan ingin ke Norway.

akhirnya aku bercadang menjadikan blog aku lebih bersifat multimedia. youtube akan diletakkan dengan kadar yang sesuai.

kali ini aku menampilkan Lasse Gjertsen dari Norway mengajar bahasa. lihat juga video2 lain beliau di youtube. menarik. walaupun kelihatan sick, tapi ok. 18PL ya adik2.



-mengucapkan terima kasih kepada mereka yang singgah ke wakaf digital hamba.

santa claus, merry christmas.

macam biasa, bangun pagi tadi aku hisap rokok sebatang. sebenarnya tak la pagi sangat. pukul 11.30. (aku dah semayang subuh ok)

aku keluar tengok kasut aku. ya, stokin aku masih lagi dalam kasut, nampaknya santa tak sanggup nak keluarkan. ah, santa..sia2 aku jadi budak baik.

dulu masa kecik, aku biasa bangun pagi dan tengok stokin aku tergantung dengan objek di dalamnya. sumpah aku tak tipu. tapi aku dah tau ape benda sebab aku sendiri yang masukkan. suratkhabar. cepat sikit kering stokin tu. biasa la. aku memang last minute dari kecik. mak aku dah tunggu dalam kereta baru aku ingat kasut sekolah kat belakang peti sejuk lagi.

ahh st. nicholas, kau dah tipu kami, budak2 yang baik!
merry christmas untuk orang2 yang merayakannya.

bye

Tuesday, December 23, 2008

mari menjadi baik #2

hari ini aku bercita2 menjadi pakar motivasi.

sebelum ini aku hanya ingin menjadi orang luar biasa, digilai wanita, melukis ala-ala salvador dali dan membikin video clip tekno-aneh ala-ala daft punk, dan mencari perhatian.

tapi akhirnya tersangkut dengan sistem, hidup di tempat yang tiada pantai dan mempunyai rutin harian yang membosankan. sama macam kau. ya! kita harus ubah rutin sekali sekala. perubahan itu pula haruslah meninggalkan kesan.

baik. mari kita mulakan.
semua berdiri ya. tarik nafass..
katakan YA!! dalam satu nafas. ya, sambil tumbuk orang di sebelah!
berikan semangat kepada mereka!

aku menyarankan perubahan rutin secara random. tiada prioritical order ya.

#1
-pernah ucapkan 'i love u' pada mak dan ayah anda? cuba hari ini. orang putih senang2 saja cakap (di dalam filem2 yg aku tgk). orang melayu juga mampu. ah, kau bukan brutal sangat pun. cakap dengan awek leleh2. habis kredit mintak duit ngan mak. fuck la..ah! maaf..maaf..apa? siaran langsung? ya..ya..saya jaga bahasa..

#2
-banyak duit baru2 ni? cari sesiapa yang sedang minta sedekah di tepi jalan dan ajak dia lepak di kedai terdekat. belanja dia makan. at least dapat memberi satu hari yang berlainan kepada beliau. dan kepada diri kau sendiri.

aku serius la ni.

#3
ambil kertas dan tulis begini

saya : hai, baru balik kerja? bagaimana hari ini? ok? kamu tertekan? mengapa?
anda:

tampal di dalam lif (jika anda tinggal di rumah2 tinggi)
update selalu.

#4
ambil sebatang kayu, dan berjalan ke arah kucing dengan perlahan2. ready untuk menghayun kayu tersebut ke kepala kucing. apabila kucing tersebut kaget dan bersedia untuk lari, campakkan kayu dan berikan beliau ikan goreng. (aku pun tak tau terapi jenis apakah begini)

#5
beli voucher makanan di mana2 outlet makanan, tampalkan pada dinding2 tempat2 awam berserta note 'hanya disediakan untuk orang yang benar2 lapar. jika anda masih mampu membeli makanan, sila jangan usik'

lakukan sebulan sekali apabila mendapat gaji dari sistem yang bosan itu.

#6
telefon kawan2 yang betul2 lama tidak jumpa. dan buatkan mereka gembira.

#7
vandalismakan no top up yang masih belum digunakan di dinding2 dan public phone yang rosak. dan jangan lupa tulis 'untuk kegunaan kecemasan sahaja'

#8
contact aku. belanja makan. atau doakan aku saja.

Sunday, December 21, 2008

aku sungguh terkejut mendapat surat dari tahun 2038 ini.

ehem. kepada durian (2008)
aku adalah durian dari tahun 2038. ah kau mesti terkejut. tapi takpe baca dulu. aku tau kau mesti agak ade orang lain yang mengehack password kau. tapi ini pun kau yang menulis. semasa berumur 56.

jika kau tak percaya, klik gambar di bawah ini dan lihat apa feature terbaru dalam 'add a gadget' tahun 2038. ah..kau mesti tak percaya!



ya..kau masih berblog di tahun 2038. bodoh! pada umur 27 nanti(tahun 2009), kau patut berhenti blogging dan membuat kerja berfaedah. jika kau berhenti, aku mungkin berada di masjid sekarang dan tidak mengadap pc buruk ni. dan, oh ya.. tak payah berharap. kau masih belum pakai Mac semasa umur 38. pergi cari kerja yang lebih lumayan skarang!

bukan hendak mematahkan semangat kau. tapi di tahun 2038 pun, hanya 2,3 orang yang baca dan komen blog kau. itupun orang yang sama - si buruh yang misteri, bogus, lee dan NenekAnakHanny (formerly known as Mummyhanny). si 'Cah Anak Cikgu Man' tu pula dengarnya sudah ditangkap polis kerana mengedar bahan lucah dalam internet.

ahh..akaun nuffnang kita sudah mencapai rm4. tahniah kepada kau kerana menulis blog yang hampeh.

dan berhenti merokok. aku tak selesa blogging di hospital. internet slow.
chow. nanti senang aku post lagi.

Thursday, December 18, 2008

aku pasif.

aku sungguh pasif. aku tidur banyak dan aku mendapat banyak masalah, hanya dengan satu tabiat tersebut. sungguh menyedihkan.

aku tidak pernah bergaduh (maksud aku bertumbuk) sejak kecil. ini kerana tidak ada orang pernah ajak aku bertumbuk. namun walaupun aku tidak bertumbuk, aku ada pengalaman2 tersendiri yang mematangkan aku. tidak perlu bertumbuk untuk jadi hebat. tapi pastikan badan anda sihat selalu dengan mengamalkan senaman.

tetapi aku jarang bersenam. sangat jarang. damn.

masalahnya aku bukan jenis yang agresif. aku tidak akan semena2 pergi menyepak perut anjing yang sedang lepak di tepi jalan. bukan. aku bukan begitu.

lama betul tidak panjat pokok (perenggan ini tiada kaitan langsung dengan entry)

aku seorang yang semasa kecilnya, akan membuat 'kubu' dari cushion2 kerusi dan lepak di dalam. itu saja. aku suka sense of enclosure begitu.

aku merasa cemas dan terancam jika semasa aku sedang berak, aku terperasan ada labah2 besar di dalam tandas. walaupun jauh dari aku, aku takkan provoke ia dengan pancutan air..oh tidak..

aku juga risau jika ada katak yang sedang memperhatikan aku di sudut tandas. (di kampung aku banyak katak yang melepak di sudut tandas) aku tak tipu, aku akan tutup kemaluan aku dengan tangan. bahaya! dia mungkin sangkakan ia cacing! (atau anaconda)

aku tidak suka anjing. lebih2 lagi anjing yang menyalak. aku akan tutup tingkap kereta jika memandu perlahan di sebelah anjing. namun aku tiada masalah dengan Snoopy. sebab dia juga pasif.

namun, dalam mengalami kelemahan2 ini, aku suka. biarlah begitu.

aku tak mahu jadi agresif. orang2 agresif sangat annoying.
janji aku gembira sudah. sekian.

...

Wednesday, December 17, 2008

faizal husin. dia ok

tadi aku melepak di mamak seorang diri lepas menghantar barang. selepas mengorder teh o ais, aku pandang2 kiri dan kanan tengok orang.

setelah puas pandang orang, aku pandang tv pula. oh yes, gila2 remaja.

lama juga tak tengok cerita ni. aku layan. teringat masa kecik, balik sekolah bukak tv, ada gila2 remaja. aku tengok dengan keinginan yang sama macam jebon, ingin menjadi faizal husin. aku buka baju sekolah pukul 4 hari tu.

aku tergelak dengan kuat beberapa kali di kedai mamak itu. sungguh cool hero melayu dulu.
dengan rambut panjang belah tengah, dan meninggalkan beberapa helai di dahi sebagai fringe yang macho, jaket kulit berwarna hitam (dan kadang2 merah). beliau mengikut trend semasa, mampu breakdance, menggilai suzy yang berkening tebal dan berbaju aerobik. mempunyai sidekick yang kelakar dan cocky. kuzi contohnya, walaupun mempunyai nama seperti masakan, namun adalah seorang kawan yang setia dan nakal. roy juga mempunyai nama yang ringkas, azroy bin azlan. dia berkawan dengan bangsa2 lain juga. si roy adalah seorang yang bijak, memakai air force one, bermain yoyo dengan rakan yang juga cool, semestinya. roy tidak salah memilih musuh, iaitu farouk. farouk juga adalah musuh negara. ber'port' di rumah buruk yang mempunyai graffiti burung gagak yang juga buruk, dan ada berkotak2 kokain di dalam rumah tersebut (kayanya!).
roy juga prihatin, melawat remy di penjara, membeli kuih dan air kotak, malah menyucuk straw kepada remy. menderma darah kepada awek, mengajak kawan2 turut menderma darah, dan akhirnya menjadi pelajar terbaik. fuh! apa lagi yang kau nak?

dia memang seorang icon. setaraf dengan micheal j fox.

faizal husin. dia memang ok.

Monday, December 15, 2008

memeriahkan bahasa lagi! yay!

semasa aku menerbitkan entry bahasa budaya bangsa hari tu, aku dapat banyak feedback dari dalam alam maya dan di dunia nyata. masing2 ingin memberi contoh perkataan mereka. dan sempena aku ada masa sekarang, mari kita lakukan.

namun aku juga bimbang takut disaman oleh dewan bahasa kelak.

tapi jangan risau. aku tidak cuba membuat sesuatu yang jahat. hanya ingin menggalakkan otak aku berpusing. Thomas Alva Edison berjaya mencipta mentol pada cubaan yang ke seribu. beliau telah ditanya soalan 'bagaimana perasaan kamu? hanya setelah seribu kali mencuba barulah mentol itu menyala'

beliau telah menjawab 'ya, kini aku tahu 999 cara bagaimana tidak membuat mentol'

--------

1.beramal
aku : hello, bogus, jom minum kat Azwath sekarang.
bogus : mana boleh beb. aku dah beramal sekarang. kalau aku keluar nanti bini aku koyak poster2 butterfingers aku.
(perhatian1 : perkataan ini hanya boleh digunakan oleh bogus. tahniah. bogus telah selamat mendirikan rumahtangga bersama Amal Syahirah 2 minggu lepas)
(perhatian2 : namun bogus tidak boleh menggunakan ayat 'mengamalkan' kerana ia menggambarkan beliau telah berkahwin dengan kamal)

2.ternak
makcik : eh Ari, ambiklah lauk lagi..takkan makan sayur je kot..tak sudi ke..
Ari : eh, takpe makcik..takpe kalau saya ternak ayam nanti, saya ambik.
(credit - ari)

3.terpesona
Lee : aku memang nak beli Iswara sebenarnya. sayangnya aku dah terpesona.
(credit - lee )

4.menyampah
lina : eeee...aku geram betul dengan si Mariam tu..mengada2! tak malu! eee...
menyampah dulu la aku..
zainun : haa..alang2 tu ambik sampah kat dapur tu skali. ada dua plastik.

5.menaikkan
haris : hoi..buruk la perangai kau..kau menaikkan tadi?
hafiz : haa..apsal? aku lupa nak flush ke? haha sorry..sory..
(credit - haris hafiz)

6. menaiki
zubir : kau memang tak menaiki ke?
Ismail : haah..aku lagi suka adidas.

7. memerangi.
salmah : sayang, u ni pantang i marah, mula la memerangi i..
salman : sayang, muka i time sedih memang macam ni..nampak mcm memerang ke..
tak baik u..awwww

8. mentadak

husin : Apa ni ane!! come on la..nak tukar syiling pun susah ke? macam ni hal pun u nak mentadak?!
mamak : tadak! tadak! tadak! sana kedai tukar..sini syiling mau bagi pelanggan lain la macha..

ya..kini aku tau 8 lagi cara tidak bercakap bahasa melayu dengan betul.

sekian.

peti cadangan?

senang2 saja cah anak cikgu man menyuruh aku menghuraikan pemikiran beliau berkenaan peti cadangan yang disalahguna. aku sungguh tertekan. namun aku professional menghadapi cabaran2 sebegini. lagipun, aku hanya susah nak bangun tido.

cah, begini.

peti cadangan mempunyai pelbagai bentuk. ada yang cantik dan tidak kurang juga berbentuk seperti sarang burung merpati. tapi aku tidak peduli pada bentuk2 kecuali semasa aku sedang belajar di kelas sculpture 101 - form and content dulu. lebih2 lagi bentuk2 yang dijumpai di pejabat2 kerajaan.

ya, aku mengakui pernah melihat orang memasukkan syiling dan brochure ke dalam peti cadangan. tapi mungkin mereka menyangka peti cadangan tersebut adalah vending machine. mereka hanya mahukan vanilla coke, cah.

jadi. pendapat aku adalah - kita tidak boleh menyalahkan mereka. kita juga kadang2 menolak pintu yang bertulis 'TARIK'. dan kadangkala menarik pintu yang bertulis 'TOLAK' apabila ada makcik yang sedang berpeluh betul2 di hadapan pintu.

jadi. mari kita maafkan mereka. namun mereka2 yang meletakkan brochure ke dalam peti cadangan, adalah seolah2 mereka yang menolak sliding door. mereka sungguh bodoh.

sekian terima kasih.

Saturday, December 13, 2008

mari menjadi baik

assalamualaikum.

bagaimana? baik bukan?
mulai hari ini aku akan mulakan blog aku dengan assalamualaikum. kerana ingin dikenali sebagai blogger muslim. si muslim gemuk yang optimis? oh mungkin tak sesuai. si gemuk yang muslim? mungkin terlalu muallaf bunyinya. jadi cukup sekadar salam je lah.

hari ini aku ingin mengajak para pembaca yang sengaja/terbaca entry ini agar menjadi baik. bukan secara islamiah saja. baik kepada sesiapa saja. termasuk menolong makcik melintas jalan. makcik sape aku tak tau. janji makcik.

baiklah.aku mengaku aku bukan dalam mood mengarang sekarang.

tapi nak mengajak korang jadi baik. contohnya senyum semasa membayar kepada penjaga tol yang sedang menunggu shiftnya habis, dan buat muka macam taik (ah, maaf! terkasar bahasa)

dan bayarkan tol untuk kereta belakang. pasti hati rasa gembira. cubalah!

aku tak pernah.

Friday, December 12, 2008

neraka untuk benda

jika ada neraka untuk benda,

aku rasa,

benda pertama yang masuk ke dalamnya adalah duit.
sebab karna duitlah punca segala kejahatan. duit yang membentuk sistem kehidupan manusia.

duit ingin jadi tuhan. ingin manusia mengikutnya. ingin menjadi the measure of all things.

Benda kedua yang masuk neraka adalah bonggol2 jalanraya yang terlampau tinggi.

Namun, bonggol mungkin sudah tidak dipedulikan sangat di dalam neraka. tidak penting.
kerana duit sudah masuk terlebih dahulu. syaitan2 sudah mengamalkan politik wang dalam neraka.

lebih baik duit masuk ke dalam wallet aku.
aku pastikan ia masuk syurga (syurga untuk benda)

what's up with that W, man?

hari ini aku benar2 demam dan tidak pergi ke ofis.
leher aku sakit kerana tersilap tido smalam namun aku dok sorang2 kat rumah, jadi tiada orang yang akan panggil aku dari belakang dan aku juga tidak akan berpaling kepadanya seperti robocop. ah..leher aku betul2 sakit.

aku baru bermain2 di ruang internet tadi masuk-keluar myspace, masuk-keluar blogger, dan aku jumpa banyak huruf W yang disalah guna. aku pelik.

come on la wei..

takpew law..sukew atiw korang law nak menaip macam manew pown..
aku sajew jew...

jew?

rosak budak sekarang.

Thursday, December 11, 2008

demam

aku tak sihat dan nak demam. walaupun aku tak nak demam, tapi memang itulah term nya - 'nak demam'.

biasanya bila aku demam, aku akan dengar suara bapak aku yang bergema. seperti dia bercakap di dalam baldi. tapi aku tau di alam nyata bapak aku tidak bercakap dalam baldi. adik aku juga ada situasi aneh apabila demam. tapi aku tak paham bila dia ceritakan dekat aku.

ah. biarlah.
aku pun pening mengadap komputer.

lalu aku tutupkan ia.

TIUTT.

Monday, December 1, 2008

duduk, regangkan badan dan lihat



duduk dan tengok gambar ini.
sudah berapa lama kau duduk di kerusi tu?

hisap rokok dan minum coke.

tak mau berjumpa dengan pantai?
risau juga takut2 kau mati di bandar yang sibuk.

hahaha.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...