Thursday, July 30, 2009

Janda ganas anak 3

beberapa minggu ni aku tak sempat nak tulis blog baru. dan sekarang aku akan dedahkan benda yang menyusahkan aku baru-baru ni.

sebelum ni aku terperasan, sebelah rumah aku ni ada satu janda sudah lepak. Sebelum ni tak nampak pulak. dan aku tak pulak main tuduh je dia ni janda. sebabnya memang laki dia mcm tak wujud pun. dia je yang wujud. dengan 3 anak yang masih kecil dan tak reti buat ape lagi. tapi semua dah boleh berjalan la. Janda ni, tak dapat dinafikan, mempunyai muka yang bengis. kadang-kadang kalau aku perasan yang dia tengok aku berjalan nak masuk rumah, aku akan buat-buat tak nampak. kalau boleh aku nak elakkan dia nampak aku. hui, risau aku. Kewujudan dia memang misteri. dah la aku selalu nampak dia selongkar-selongkar sampah kawasan kejiranan aku. kumpul tin aluminium kot. tapi aku tak peduli. tak nak masuk campur.

Masalahnya, nak dijadikan cerita hari tu aku balik dari KL sampai rumah pukul 1 pagi. aku memang letih gila. kalau la ada orang datang ajak bergaduh tiba-tiba memang aku menangis je terus time ni.

Maka dengan mengantuknya, aku angkat barang-barang dari dalam kereta. Laptop, beg galas, beg bimbit, beg tangan (saja aku tambah bagi nampak kelakar) Lepas tu aku angkat plastik-plastik buku, kacang yang tak habis makan, dan macam-macam lah. banyak la pulak barang time-time letih ni!

Dalam kegelapan dan kesunyian malam tu, aku ternampak kelibat bergerak-gerak di sebelah rumah aku. kecik-kecik semuanya.

'eh, anak-anak dia tak tido lagi ke time ni?' pikir aku. 'jangan buat hal sudah'

dengan tak semena-mena terdengar jeritan yang kuat. terkejut aku. ketiga-tiga anak dia menjerit ganas kat aku. aku terkejut gila. tercampak kacang dalam longkang. gampang, banyak lagi pulak tu. Aku berjalan perlahan- lahan. 'memang nak kena lempang tiga-tiga ni' kata aku.

sekali mata aku tertumpu kat satu kelibat yang lebih besar lari menuju aku sambil menjerit tak tentu hala! alamak! mak diorang! aku terkejut gila, aku lari masuk kereta, start dan blah terus. aku bawak kereta sambil tengok side mirror sampai restoran kat simpang, lalu aku parking dan rilek sampai aku hilang panik. aku dengar lagu menenangkan fikiran sambil tarik nafas panjang-panjang. tokey kedai tu usha aku dari dalam restoran dia. apahal ntah, macam tak pernah tengok orang drive sambil galas 3 beg sekaligus?!

lepas aku dah tenang, aku drive slow-slow sampai depan pagar rumah aku, (betul-betul depan pagar). aku matikan kereta, terus lari dan kunci pagar cepat2. jantung aku berdegup-degup lagi.

dah masuk dalam bilik baru la hati aku tenang betul. aku tak tau nak repot kat sape benda-benda macam ni. Jabatan ape aa yang ambik tau benda macam ni? Jabatan perhilitan? bandaraya? jabatan haiwan liar?

lega aku selamat malam tu. Aku memang tak boleh blah betul kalau berhadapan dengan anjing macam ni. nanti aku nak make sure pihak yang berkenaan datang kutip semua 4 ekor tu. bahaya kat budak-budak kalau dibiarkan.

(ok, sekarang kau pegi baca balik dari atas )

Thursday, July 23, 2009

cikgu terkilan

sempena hari guru ni, aku akan menceritakan pengalaman aku semasa jadi cikgu ganti hari tu. eh, hari guru berapa hari bulan?

selepas ditendang secara terhormat oleh UTM, aku mula cari inisiatif untuk bekerja ala-kadar. Lagipun lepak rumah pun rasa terhina je. nak bangun tido lambat, nampak sangat tak insaf-nya.
nak rajin-rajin sangat kang, kena sound pulak tak pasal-pasal. jadi setelah di ejas oleh Makcik Maya anak Mail Kerbau merangkap jiran depan rumah, aku diterima bekerja di stesen minyak beliau sebagai pengisi minyak sepenuh masa.

dalam masa seminggu saja, aku bercadang untuk berenti kerja. ini kerana, aku telah dilarang membuat benda melalaikan semasa menunggu kereta di petrol pump. kata bos, aku mesti melambai kereta yang takde minyak untuk datang mengisi minyak. apa dia ingat aku termometer ke nak buat macam tu? malah membaca suratkhabar adalah benda yang salah. apatah lagi aktiviti-aktiviti lasak macam mengetip kuku. Ini belum masalah nak isap rokok lagi. takkan tiap-tiap hari aku nak buat-buat berak sampai 18 kali? kalau aku bos pun aku suspek.

aku berenti kerja terus setelah mak aku telepon - bahawasanya ada cikgu english bersalin di sekolah dia. maka, dengan menyambar posisi beliau, bermulalah era aku sebagai seorang cikgu ganti yang berwawasan.

pagi itu aku datang sekolah dengan kepala botak. mesti nampak gangster. baru macam Onizuka.
dan dengan kemeja kotak-kotak yang baru beli kat Pasaraya Pantai Timur semalam, aku menyanyi negaraku bersemangat, sampai terkeluar terkeluar air liur.

pengalaman bersemuka kali pertama dengar pelajar-pelajar darjah 4 memang menaikkan adrenalin aku. memang aku tak reti nak intro. seperti yang kita tahu, tahap intro memainkan peranan penting dalam hidup, lebih-lebih lagi semasa berak di tandas awam. di masa introlah kita harus bersedia untuk membuat bising dengan memancutkan air paip ke pintu. jika tidak pasti terdedah keburukan. ah, itu tak penting sebenarnya. yang penting, aku intro dengan bergaya di ketiga-kelas.

Sebelum balik sekolah hari tu, aku cuba memberi cadangan kat budak-budak,

"tu, ruang belakang kelas tu, jadikan sudut bahasa inggeris. semua gotong royong bersihkan dan cantikkan. nanti Sir nak tengok. paham!"

macam biasa, budak sekolah mana yang nak dengar cakap cikgu dalam masa 15 minit sebelum balik. diorang tengah fokus nak pegi main berebut tiang je time tu. cilake. aku pun buat tak endah gaya onizuka.

keluar pagar sekolah aku terus menuju kedai Mak Su depan sekolah. plan nak beli jeruk mangga, tapi disebabkan pakai kemeja smart, aku duduk kat meja dan order air kategori cikgu-cikgu.

"mintak teh ais kurang manis satu. semut letak asing" kata aku bergaya. Maksu usha maut.

sambil aku minum aku tengok beberapa orang student kelas aku berjalan masuk ke dalam denai ladang getah, dengan berpeluh-peluh mengangkat beg yang dah dekat-dekat sama besar dengan sofa.

"macam ni la kalau mengajar luar bandar. kesian betul budak-budak ni. takpe, besok aku akan ejas susu coklat RMT lebih kat diorang" pikir aku sambil tengok Maksu hidang teh ais aku. sialan! siap ada kelkatu lagi dalam tu.

...........................


Esoknya lepas rehat, aku tengah lalu tepi kelas C, terdengar kecoh-kecoh. Di belakang kelas diorang semua tengah riuh rendah.

"wah! dah mula gotong royong." kata aku, senyum.

aku masuk dan menuju ke belakang kelas, eh lain macam diorang berkumpul ni. takkan la gotong royong buat bentuk bulatan macam ni? takkan la kecik-kecik dah pandai buat-buat kata semangat sebelum start gotong royong? dengan penuh tanda tanya aku mencelah ke tengah dalam kebusukan budak-budak ni. biasalah budak sekolah, mulut sape tak bau keropok lekor lepas waktu rehat?

akhirnya aku tau bahawa tujuan perhimpunan ini adalah untuk menyaksikan perlagaan kumbang tanduk. cilake! masalahnya, aku tengok kumbang tu dua-dua ekor tak bergaduh pun, jalan rilek-rilek saje. penonton-penonton yang bergaduh lebih. lepas aku soal siasat dan jentik telinga peserta-peserta, aku chow.

petang itu, sambil minum teh dan pekena rokok sebatang-dua di kedai Maksu, aku rasa nak campak kasut dekat geng-geng yang masuk ladang getah tu!

Thursday, July 16, 2009

teringat aku pesan cikgu

1997 - Dewan Peperiksaan SDAR - PMR - Kertas Bahasa Melayu

aku tengok sudut 45 darjah depan aku. Kamel duduk menyendeng ke kiri. kertas jawapan dia tertutup. ah, sial Kamel. sia-sia aku belanja dia nasik lemak pagi tadi. janji nak open kertas jawapan kalau dengar aku berdehem. Dah la tak nak layan nasi lemak kosong. siap mintak telur mata pulak tu. Lepas tu nak demand lagi, nak telur goyang.

Masa dah nak abis. tinggal 15 minit je lagi. peluh dingin meleleh. telur aku pulak yang goyang. sialan Kamel!

aku nekad. Aku nak berdehem yang paling kuat. Baru setting-setting tekak, terdengar kletup-kletap kasut tumit tinggi berjalan dari belakang aku. terus aku cancel berdehem. aku buat-buat tengah baca soalan.

"ah, aku putus asa lah dengan kamel." lalu aku fokus balik dekat soalan nombor 12 tu. tinggal ini je soalan yang paling susah :

12. Mak Minah tidak pergi ke pasar ___________ dia sakit perut hari itu.

A. Kerana
B. Sebab
C. Dan
D. Disebabkan

Aku baca soalan ni banyak kali sampai aku dah rasa pelik dengan bunyi-bunyi bacaannya. aku dah tahap tergelak dengar perkataan 'sebab'. ada juga perkataan yang bunyi mcm ni.

Ah! Aku tau mcmane nak buat. teringat aku pesan cikgu.
Ya, pesan cikgu!

Aku tutup mata..
fikiran aku menerawang jauh. masa tu aku 6 tahun. anak jiran sebelah datang bawak pinggan mangkuk plastik kecik2 warna pink. kitorang lepak kat meja batu luar rumah. lepas tu aku isi pasir dalam pinggan, lepas tu petik daun jambu buat-buat mcm lauk ikan. lepas tu pulak pura-pura makan..

pooff! aku kembali ke dewan peperiksaan. aku tersenyum. aku pun cuba menjawab soalan 12 tadi dengan bergaya.

alamak..masih tak boleh..tak tau jawapan.
memang tak tau. tak paham.

masa tinggal seminit. Kamel kemas2 kotak pensel besi geometry set.

Cikgu aku cakap, fikir masak-masak, pasti dapat jawab soalan dengan senang.


kenapa aku buat tak jadi pun cikgu?

Sunday, July 12, 2009

review : KACIP oleh pipiyapong

pagi itu aku sampai ke opis, di atas meja sudah ada satu sampul surat. yes, aku kata dalam hati - bukan kerana aku tau buku blog 'Kacip' dah sampai tapi sebab aku berjaya melakukan pembelian melalui internet yang pertama aku sepanjang 27 tahun aku hidup.

perkara pertama yang menjadi ukuran adalah ketebalan sampul surat tersebut, sungguh menghampakan. nak kata aku dapat kad jemputan kawin, takkan la kad jemputan kawin pun nak buat 30 - 40 page. melampau. jadi, dari awal-awal lagi hati aku dah berbisik : tebal ni je buku yang berharga 20 ringgit? aku koyak sampul surat sampai hancur2.

jadi, terserlahlah buku tersebut di depan aku, dengan gambaran manusia menghisap rokok kat depan. aku duduk, dan baca.

jadi, beginilah. setelah aku baca semuanya, aku rumuskan bahawa Pipiyapong adalah seorang manusia yang jenis reti nak buat roller coaster. dia tau kat mana nak letak penyudah, di mana nak letak waktu kemuncak dan bagaimana nak twist. EQ nya buleh tahan. dan pengalaman hidup yang bersimpang siur dan bersepah beliau menambahkan lagi vokabulari-vokabulari yang kadang2 kita tak dapat jangkau. contohnya seperti ayat :

'Bila nak blah, jam dah pukul 2.30 pagi. Selesai bagi penghormatan pada otai-otai, gua ke motosikal berkuasa rendah gua. Gua hidupkan enjin. Boleh tahan juga dia punya bunyi. Lebih ke bunyi kilang papan.'

persamaan antara bunyi motor dan kilang papan adalah satu pernyataan yang akan dinyatakan oleh seorang yang mempunyai pengamatan yang tinggi. dan mungkin juga orang yang bijak dalam teori relativiti. untuk ayat itu saja aku sudah bagi A+ pada daya imaginasi dan vokabulari contoh Pipiyapong.

kemudian, dari satu ayat yang lain pula seperti :

"Kumur, kumur, kumur kaw kaw, kumur padu, kumur air banyak, kumur air sikit, masih tak berjaya. Aku mula berang. Aku cuba lagi"

ini adalah ayat yang membuahkan gelak yang paling besar aku di opis semaca sedang membaca. sehingga menjadi perhatian bos. cilaka pipiyapong. pengamatan beliau mengenai hidup manusia terserlah. di saat ini aku mula cemburu. aku pun kadang2 menulis berkenaan benda sebegini, dan sudah pasti dianggap meniru stail dia kelak. ye lah, aku pun berkumur air sikit, kumur air banyak tapi aku lalai untuk mengangkat perbuatan itu menjadi satu penulisan ilmu. tapi ternyata dia mampu berkongsi gaya hidup manusia normal, dan dengan yakin mengetengahkan cerita tersebut untuk menyentuh memori-memori absurd manusia yang biasanya hanya terselit di celah2 dasar hati dan hanya menunggu masa untuk hilang.

sememangnya kacip adalah satu recommendation walaupun sudah habis dijual. aku cadangkan kalau member ada beli, bolehlah pinjam dan baca. bahagian-bahagian kelakar tu hal lain - tapi yang bagusnya, keupayaan beliau bercerita, bukan saja dengan detail, tapi dengan contoh-contoh dan penguat ayat yang kadang2 berkias, kadang2 sinikal. sebab itu kalau baca jangan pergi ke klimaks cerita terus. baca perlahan2. sebab tiap2 ayat adalah benda yang refresh. ya, yang refresh memori. jika kita komputer, kacip buleh jadi butang F5. tahniah untuk Pipiyapong. mungkin dia dapat pahala dari penulisan beliau.

aku malas nak cerita panjang. sikit2 jadi.

lagi pun nipis je pun. sekali baca terus habis.

cilakak!

Thursday, July 2, 2009

di zaman itu, kita kurafat.

aku sampai awal betul hari tu di sekolah. misi utama aku ialah meminjam buku matematik Daniel untuk ditiru. misi kedua adalah mencari botol air yang aku tertinggal semalam. kalau hilang, itu botol air yang ketiga hilang tahun ini. botol air pertama yang berbentuk telepon tu hilang sehari lepas beli. bapak aku smash aku ngan raket badminton time tu.

aku tarik semua buku teks yang tersumbat padat dalam lubang meja aku. dah terlipat-lipat dah semuanya -bukan mukasurat, tapi dah tahap terlipat satu buku dah. aku betul-betulkan buku teks dengan tangan, aku belek, jumpa bulu ayam yang aku letak dulu.

"hmm..dah beranak dah." kata aku gembira.

betul rupanya kata member aku, bulu ayam memang beranak.

aku tarik semua sampah2 dalam meja tu, tapi tak jumpa botol air pun. mesti budak sekolah pagi dah curi. cis! aku hanya jumpa pensel saja. pensel-pensel yang aku pinjam dengan member sebelum ni. aku ingat pensel-pensel yang dipinjam memang akan ghaib ke alam lain, rupanya ada penjelasan sains. salah satu pensel tersebut adalah pensel Farihan. aku cam sebab dia asah dua2 belah. aku dah cakap kat dia jangan buat macam tu, nanti mak mati. tapi dia tak nak dengar. last2 aku jugak yang hilangkan. tapi Farihan takpe, dia cool. bapak dia peguam. tah aku pun tak tau apa kaitan dengan peguam.

..............

hari tu aku memang nasib baik. Cikgu Zamrah tak tanya pasal homework. sia sia aku sorok buku matematik aku. tadi si Nik Norma dah nak tanya pasal homework. aku hampir-hampir nak lempang dia, tapi memikirkan hingus yang dah kering kat pipi dia, aku tak jadi lempang. nasib baik dia tak jadi tanya. apala Nik Norma. nama saja ketua darjah, tapi bercakap keluar angin ikut mulut saja. bunyi tak sedap.

...............

balik sekolah, aku nampak Arif Faizal berdiri tepi bangsal basikal, tengah tengok sampah yang baru dibakar oleh tukang kebun. aku pergi menyapa dia.

"hai Arif Faizal. seronok tengok sampah?" kataku.

terkejut sikit dia. aku nampak bahu dia bergerak sikit.

"weh, kau tau tak, asap bakar sampah ni ade magic." dia kata.

"aku tau" aku jawab, tak nak nampak ketinggalan. "magic macamane aa?" aku tanya.

Arif Faizal bergerak di sekeliling asap sampah sambil menerangkan aku magic asap sampah. aku pun bergerak ikut dia - setapak, setapak, keliling sampah terbakar. memang betul kata dia, asap sampah memang akan follow tak kira kita kat mana. memang magic. dia memang pandai mencari magic, dan dia cool juga. pasti jadi peguam nanti.

kami bermain sampai petang,

sambil aku terlupa misi aku sebenar untuk balik ke rumah dan sorok raket badminton abah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...