Thursday, December 31, 2009

happy new year guys. be nice.

ok, blog ini adalah penutup untuk penulisan-penulisan tahun ini.

kembali semasa aku mula menulis blog ini dulu. tujuan aku adalah untuk mengajak orang ramai untuk menjalani hidup sebest mungkin. jadi jujur dan jadi baik. bahawasanya anda masih boleh jadi cool walaupun tidak minum beer. tak semestinya hisap dadah juga untuk berkawan dengan penagih. pengawas perpustakaan tidak semestinya dalam kategori nerd. pakai tudung pun boleh rock juga. dan menolong orang tua melintas jalan tidak bermakna anda tidak brutal.

aku cuba buat begini, sebab di masa aku start buat blog dulu, banyak sangat individu yang memberi persepsi lifestyle mereka melalui blog masing-masing untuk membawa makna 'cool'. dan kebanyakannya agak negatif. aku tidaklah positif mana, tapi aku cuba beritahu bahawa, macam biasa, semua benda ada options.

di sini aku ada recommend lagi beberapa perkara baik yang boleh dibuat pada 2010

1. memberi hadiah - babi, bagi hadiah kat orang pun tak reti ke? bagi hadiah kepada sesiapa. suka hati kau lah. janji bagi hadiah. tetapi biar la bersesuaian. contohnya memberi eye shadow kepada nenek adalah dilihat kurang sopan.

2. menyelamatkan anak jiran daripada digigit anjing - yang ini susah juga, kena ikut keadaan.

3. berkongsi suratkhabar - selepas membaca surat khabar di kedai makan contohnya, pass kepada meja sebelah. kau balik rumah pun bukan kau baca lagi pun. paling-paling pun kau buat tadah sampah kat hujung pintu je.

4. telefon kawan-kawan lama, tanya khabar - ye, aku tau kehidupan korang dah berbeza, tapi at least call dan recall apa-apa yang patut.

5. pergi bercuti di pulau - apa? kau tak pernah pergi pulau di Malaysia? rugi sial.

6. menderma - kalau duit dah banyak sangat, cari tempat menderma yang sesuai.

7. berhenti menipu - jika anda ahli politik. boleh amalkan petua ini untuk lebih disayangi.

8. memelihara anak ayam start daripada telur lagi - aku tak pasti apa relevan yang ni, tapi aku ada instinct ianya bagus jugak untuk menerap nilai-nilai kasih sayang.

9. decorate aquarium - sama seperti instinct aku di no.8

10. eratkan hubungan keluarga anda - kalau yang ini settle, kau sepatutnya tak ada masalah.

sekian. see u next year suckers!

Tuesday, December 29, 2009

trip balik ke kampung

new year ini aku akan balik ke kampung. aku cuba dapatkan tiket train untuk balik, tapi sayangnya tiket dah habis. mungkin ini kesan dari kemalangan ngeri bas double decker tempohari yang meragut 10 nyawa. semua orang risau naik bas. nak naik air asia duit tak banyak mana.

nak tak nak, aku kena naik bas juga lah. bagi aku, naik bas tak ada masalah cuma pemandu yang tak cukup rehat dan mengantuk - itu yang masalah. dan, aku juga banyak baca komen mengenai bas double decker yang tak sesuai sebab tingkat bawah dia rendah sangat. so, aku takkan ambik bas double decker atas sebab safety.

aku bersiap dan start kereta. aku nak beli tiket bas.



----------------------------------


dah 10 minit aku dekat kaunter ni. letih aku bertekak dengan pakcik ni.

"saya taknak double decker" tegas aku.

"dah itu je yang ada dik" jawab dia. "lagipun yang lain takde stok. habis." sambung pakcik tu lagi dengan muka menyampah.

"takkan tak ada dah yang lain" kata aku, tak sedap hati.

"takde. sekarang ni, kalau nak awak ambik. taknak sudah" kata pakcik tu.

aku genggam tangan. geram aku.

"saya nak yang jenis ni jugak tapi tak nak double decker!" aku tinggikan suara sikit.

pakcik tu mengeluh.

"dik. dengar sini. masalahnya double decker je yang ada snek perasa udang. brand lain takde perasa udang. perasa lain tak makan ke?" tanya pakcik tu, sabar.

aku mengeluh. "kalau mcm tu, saya ambik twisties"

aku pun beli dan keluar kedai runcit lalu berjalan menghala kaunter tiket bas.
naik bas ni kalau tak standby cikedis memang tak sedap nak berjalan.

Monday, December 28, 2009

review aku yang paling ikhlas mengenai filem AVATAR

aku adalah seorang peminat filem tapi bukan peminat filem tegar. banyak filem yang enak2 aku dah miss sepanjang hidup aku. dan sepanjang hidup itu jugalah aku sibuk browsing rak2 di kedai DVD untuk mengejar balik movie2 yang aku dah miss dan tak mungkin aku akan dapat catch up semua. tapi, dalam masa yang sama aku cuba sedaya upaya untuk keep up dengan movie yang ada kemungkinan kualitinya tinggi.

AVATAR, secara pendeknya aku rumuskan, adalah cerita yang membuatkan aku puas. sudah 2, 3 tahun juga aku tak berasa puas begini lepas tengok wayang. kalau kau berasa filem ini biasa, lantak kau lah.

AVATAR adalah satu filem yang memberi makan kepada mata dan imaginasi aku secara bertalu-talu sehingga kenyang. jika aku ingin menerangkan kepada anda melalui tulisan, aku akan kata ia seperti menonton animation hayao miyazaki (pom poko!), discovery channel, dan pameran seni abad ke-21 dalam masa yang sama. James Cameron memang menjamu mata dan otak aku secara pukal. kalau kau berasa filem ini biasa, lantak kau lah.

AVATAR adalah satu filem yang bermain dengan perasaan. yang ini, aku tak tau nak gambarkannya. di suatu masa nafas aku bertukar rentak, di suatu masa aku telan air liur, di setengah masa aku grip gelas kertas sehingga kemek. ramai orang cuba menyatakan bahawa jalan ceritanya lebih kurang dengan dance of the wolves, tapi bagi aku, go to hell. kalau kau tengok pun, artist (visual) malaysia pun berlambak recycle isu dan content yang sama, tapi guna teknik berbeza. bagi aku, teknikal aspect yang terbaik, akan communicate secara terbaik jugalah. tapi kalau kau masih berasa filem ini biasa, lantak kau lah.

AVATAR mengetengahkan konsep yang kuat, dan hasilnya adalah fantasi yang memberi kesan.
sebagai seorang muslim, selepas menonton, aku ada juga terfikir mengenai kisah sahabat Rasulullah yang diberi mimpi melihat syurga dan berjumpa Ainul Mardhiah semasa rehat di waktu berperang. akhirnya beliau berperang bersungguh-sungguh dan benar-benar syahid. ada juga persamaan. ada juga aku terfikir, jika aku diberi mimpi melihat syurga, aku juga akan melakukan benda yang sama seperti sahabat nabi tersebut atau Jake Sully dalam filem ini. sebab dalam filem ini ada satu scene yang memberi gambaran kegusaran Jake mengenai persoalan yang mana satu mimpi dan yang mana satu benar. tapi kalau kau tetap berasa filem ini biasa, lantak kau lah.

aku recommend kau tengok avatar pada jarak jauh. kalau tinggal seat depan je, postpone la dulu. dan tak perlu tengok in 3D. Filem ini penuh dengan gula-gula untuk mata. tak perlu ada ilusi mengenai illusional depth sebab ia akan menggangu kesan visual secara total, seriously.

enjoy.

zizie ezette dan trafik blog

ya, baru-baru ini ada cerita hangat mengenai zizie ezette.

aku bukannya jenis orang yang melanggan mangga. tapi aku pernah dengar juga lah namanya. lagipun tak silap aku cerita dia berkahwin dengan bung mokhtar tu keluar di akhbar-akhbar utama kan? sori la sebab aku tak follow sangat cerita-cerita hiburan.

berkenaan trafik blog, aku cuma ingin menekankan bahawa tak baik tau kalau kita menggunakan sesuatu subjek yang ratingnya tinggi dalam list search engine semata-mata untuk menarik minat pembaca. kecuali kau betul-betul ingin menulis blog mengenai subjek berkenaan. mesti ikhlas.

ini tak. tajuk blog bukan main sensasi, tapi bila masuk, ebook sini lah, ebook sana lah, MLM lah, dan macam-macam lagi. jadi saya tengok ia tak bagus dari segi kemanusiaan.

jadi berbalik kepada kisah zizie ezette tadi. ye lah, aku pun pernah dengar gitu-gitu je nama dia. lakonan dia pun pernah juga tertengok sekali dua. ye lah, berwajah segak berambut lurus, mesti lah ramai peminat ye tak? tapi itu lah, betul ke dia nak berkahwin dengan bung mokhtar. adakah perkahwinan jenis ini dibenarkan di malaysia. ishhh. mintak jauh. ahli politik tu takkan tak tau undang-undang islam?

dah la baru hari tu je zizie ezette dikaitkan dengan eksiden yang dekat MRR2 tu kan? yang naik BMW tu? dia kan?

eh. yang tu sape? zed zaidi ke?


oh aku silap orang. sori. sori. kalau dia perempuan, boleh la kawin.
sila kawin. sila kawin.

Wednesday, December 23, 2009

menjana duit dari mamalia liar.

RM 1 untuk seekor tikus

hari ini aku baca suratkhabar, MBSA akan bagi RM1 untuk seekor tikus yang ditangkap.
kadang-kadang, orang malaysia ni aku tengok macam budak-budak. nasihat-nasihat tak guna, kena bagi upah juga baru jalan.

korang tunggu. tak lama lagi akan ada la orang ternak tikus secara haram, untuk supply kat MBSA. takpun business tikus. MLM?

sekali pikir, baik dia simpan duit tu buat beli perangkap tikus, supply dekat orang2 shah alam. tak pun bank in je kat aku.

sekali pikir lagi, harap warga-warga homeless dan mereka yang kesempitan wang boleh mendapat sumber pendapatan dan boleh hidup dengan adanya program ini.

TOP 5 Permainan Syok Sendiri aku semasa kecik.

Budak-budak sekarang mungkin akan search pasal Top 5 PS3 games atau XBOX games. masa kecik dulu aku tak main game sangat. dapat micro genius pun kejap je. minggu depannya kami adik beradik dah berusaha cari adaptor yang bapak aku sorok dalam almari dia. jadi entry kali ni aku ketengahkan top 5 permainan syok sendiri aku semasa kecik secara detail. Harap maaf ya game-game sebegini tidak boleh didownload. harap reti bahasa.

NO 5 : permainan 'bertemu buku dengan ruas'

kategori : Sains/biologi

jenis experiment / mainan : mengkaji dua organisme berlainan dalam satu ruang tertutup dan memerhatikan tindak balas dan mekanisme pertahanan organisma yang berlainan. dalam masa yang sama dapat mempelajari mengenai bahagian-bahagian organisma.

dalam bahasa pasar
: jika diletakkan 2 serangga di dalam botol jem, tak kisah la serangga apa, yang mana satu akan makan yang mana. lebih baik jika ada kaki atau sesungut yang tercabut.

----------------------------------

NO 4 :
permainan 'menjadi Gulliver'

kategori : sains fiksyen/fantasi

jenis experiment / mainan : menguatkan minda melalui imaginasi dengan melakukan observasi tentang organisma baru dan unik. permainan ini juga melatih sifat tidak putus asa dan bagaimana untuk menerima kenyataan.

dalam bahasa pasar : mencari orang kenit untuk dijadikan kawan. kawan aku di sekolah, Abdillah kata dia pernah tangkap tapi terlepas. babi, sampai dajah 3 jugak aku percaya. katanya orang kenit memang ada di kawasan pokok jambu. banyak juga trip adventure berseorangan yang aku buat di kawasan kejiranan aku semata-mata mencari awang kenit. selalunya aku bawak tali rafia bersama, takut ada kawasan yang kena mendaki gunung.

--------------------------------------

NO 3 : permainan 'diving-diving'

kategori : sains fiksyen/adventure

jenis experiment / mainan : mengkaji salah satu elemen utama di bumi iaitu air, dan bagaimana struktur fizikal air jika digandingkan dengan material lain seperti plastik yang didapati dari bahan makanan bukan utama.

dalam bahasa pasar : aku sanggup mengadap sebuah besen yang berisi air berjam-jam setelah mendapat mainan 'diver' yang didapati dalam cikedis bon-bon. boleh juga mengisi batu kerikil dalam besen untuk mendapatkan permukaan dasar laut.

------------------------------------------

NO 2 : permainan 'dare devil'

kategori : automobil/action

jenis experiment / mainan : berkisar mengenai pengkajian lanjut Newton mengenai graviti dan kaitannya dengan tekstil berkualiti dari Iran. sedikit sebanyak mendekatkan diri kepada industri automobil.

dalam bahasa pasar : gulung hujung karpet ke bawah untuk dijadikan 'launch ramp' dan aku sudah boleh lancarkan kereta hotwheel dengan bergaya. agak2 dah bosan bolehlah lancarkan guli. kadang-kadang aku lancarkan juga pencilbox, bateri atau rehal. game ini boleh bertahan sehingga 1-2 jam.

-------------------------------------------

NO 1 : permainan 'bob the builder, can you fix it'

kategori : construction/adventure

jenis experiment / mainan : kajian lebih menjerumus dalam skil mengasah kreativiti di mana tiada had sebenar dalam permainan. walaupun permainan construction ini jenis yang tiada mekanisme sambungan seperti lego atau lasy (korang penah main lasy?) namun ia lebih mencabar dalam mengasah kefahaman mengenai susunan dan kestabilan.

dalam bahasa pasar : susun-susun kusyen. daripada bentuk kubu, kereta batman dengan seat yang boleh sandar, susun menegak je terus tanpa tujuan, susun bentuk kota sesat ataupun sekadar susun satu-satu, jarak2, sebagai titi untuk bergerak dari satu kerusi ke kerusi yang lain. kita boleh melompat dari satu kusyen-ke kusyen yang lain. jika permainan menjadi semakin hambar, boleh juga berlakon terjatuh dari kusyen dan kaki digigit buaya (optional).

baiklah. nantikan top 5 aku yang lain pula ya! sekian.

Monday, December 21, 2009

korang pernah baca BUJAL?


antara majalah yang membantu aku membaca semasa kecik. aku rasa D.O.G.O.L adalah di antara ejaan-ejaan awal aku.

cuba tengok. grafik dia. style gila. typo, composition, colour. macho! tak sia-sia aku baca bujal dulu. kalau aku print cover magazine ni atas t-shirt, ada tak pembaca-pembaca dari zaman 80-an nak beli?

btw, korang pernah baca BUJIL?

Sunday, December 20, 2009

cadangan membuka restoran berkonsepkan memori semasa kecil

Tajuk
cadangan membuka restoran berkonsepkan memori semasa kecil

Objektif
1. Untuk melawat kembali memori lama
2. Memperkenalkan konsep berbeza dalam memberi nafas ambience baru kepada restoran
3. Untuk menerapkan kembali nilai kemanusiaan kepada manusia zaman sekarang
4. Untuk memberitahu manusia bahawa ada benda lain lebih bermakna dalam hidup selain apa yang korang tengah buat sekarang.

Kelemahan
1. semua memori adalah berdasarkan memori aku dengan tagline 'lantak kau la nak pikir apa'
2. terlalu risiko untuk proceed

CADANGAN MENU :

1. Nasi putih + telur mata + kicap (SAHAJA). -diskaun 50% untuk mereka yang membawa ibu masing2 untuk menyuap.

2. Cucur udang Makcik Lah

3. Roti keping + Sardin semangkuk. -voucher percuma untuk kanak2 yang berebut tulang ikan sardin.

4. Biskut kering + teh o nipis (OPTIONAL : biskut sudah dipatah-patahkan dan sudah direndam dalam gelas + sudu)

5. Aiskrim roti

6. Maggi ayam kosong + additional dessert kek coklat Hiro.

7. Maggi kari makan secara kering dengan perencah. air kosong disediakan untuk mengelakkan masin yang amat di hujung pemakanan.

8. Kulit gula-gula udang.

9.chips -potato chip plastik oren yang seposen satu, maruku ikan gambar baby, dan cottage fries dalam tin hijau.

bersambung..

Thursday, December 17, 2009

kisah pencuri yang melepak bersama kawan-kawan

ini bukan cerita terkini. macam biasalah aku suka tulis cerita zaman-zaman lepas. ingat hidup aku ni siaran langsung ke. bukan macam korang tu asal pegi makan kat tempat mahal je, update blog. kadang-kadang upload la gambar nasi lemak singgit stengah ke, karipap ke. best jugak.

satu hari tu aku pegi keluar minum. jumpa kawan-kawan lama. sekali-sekala kena refresh jugak apa-apa yang patut. aku angkat-angkat tangan panggil mamak datang order. pagi-pagi ni mamak yang shift baru memang tengah rajin nak ambik order. dia punya semangat datang nak ambik order aku, siap terlanggar bucu meja lagi. 'grekkk..' bunyi kaki meja terseret lantai. mamak tersenyum cover pedih.

'teh o limau ais satu. semut letak asing,' aku order pantas.

macam biasa lah kawan-kawan ni nak kena call baru nak datang. aku buat keluar hanset aku yang takde kamera. aku dail nombor -nombor mereka.

my fren your fren, yor fren my fren.. begitulah kedengaran caller ringtone kontemporari kawan-kawan. lagu apekebenda ntah. tapi bunyinya macam berkisar mengenai semangat setiakawan.

aku letak telepon atas air yang bertakung atas meja kesan dari penghasilan wap sejuk di sekeliling gelas. aku saja letak atas air sebagai menunjukkan karakter tahan lasak hanset aku. agak2 screen dah nak padam, aku lap hanset di paha, dan simpan balik dalam poket. kadang-kadang aku enjoy juga lepak seorang diri.

------------------------------------------------------------------

lepak lepak lepak, dah pukul 4. aku pun meminta diri dari kawan kawan sambil blah. aku hendak jumpa kawan-kawan lain pula. kategori lain.

kawan-kawan ni banyak kategori. ada yang menyenangkan hati, menyenangkan pancaindera dan ada juga yang kita terpaksa buat-buat gelak/senyum sampai keras pipi akibat dari lawak yang bertaraf average. bahaya juga begini. aku pernah baca pasal depression yang diakibatkan dari senyum yang terpaksa. biasanya ia dikaitkan dengan karier - nurse, pramugari adalah antara karier yang mempunyai rating tinggi terkena penyakit tersebut. serius. apa ntah nama penyakit ni.

hari itu saja aku lepak di 5 buah restoran yang berlainan. entah kenapa itu saja masa yang sesuai untuk berjumpa kawan-kawan. banyak gelas juga minum. banyak kali kencing di mamak. tetapi tidak berak sebab biasanya dekat kepala paip tempat sangkut seluar tu ada air meleleh. aku dah kena dah itu hari habis boxer aku basah. kalau tak sebab stok boxer aku terhad, memang aku dah pam sekali ia dalam jamban tu.

apa yang aku perasan tiap-tiap kali lepas minum teh o ais limau, seluar aku makin londeh. aku tak pasti, air tersebut mungkin bagus untuk diet. makin lama aku lepak makin londeh. pegi restoran lain makin londeh.

aku balik malam tu seluar dah londeh gila, kalau joe flizzow tengok mesti dia suruh aku rap. aku masuk bilik aku untuk menyiasat. seluk saja poket ada benda plastik berlaga-laga di dalam. aku keluarkan.

terkejut aku. ada 6 biji lighter pelbagai jenis warna dan tajuk.

mintak maaf kawan-kawan. habit.

Sunday, December 13, 2009

kereta saya sterengnya ke kanan

tukar tayar + buat alignment. hilang lagi rm150.

dulu buat alignment tak susah macam ni. turun kenderaan, pegi tengok tayar depan, kepit tayar celah paha, betulkan handle, sudah free to go.

patut la orang jepun, orang china naik basikal je.

sakit telur sikit takde hal lah.

Tuesday, December 1, 2009

sambungan kisah Azmi tempoh hari

sori la lambat sikit aku sambung. sibuk.

Azmi terdengar bunyi meletup yang kuat. keretanya terseret di bahu jalan umpama buih-buih di pantai (perumpamaan tak kena langsung). dalam hujan yang lebat, Azmi membuka tingkap dan menjenguk ke belakang. confirm. tayarnya pecah. Azmi lihat jam tangannya menunjukkan pukul 12.30 malam. Azmi mengeluh, memaut stering sambil melepas geram. Azmi merasa tertekan. benar, rupanya dia tertekan hon.

Azmi panik dalam diam. di sekelilingnya gelap. tak ada tanda-tanda ada rumah di kawasan itu. gelap gelita. ditambah dengan bunyi hujan lebat yang menderu-deru di atas bumbung kereta, umpama buih-buih di pantai (sekali lagi). Azmi terfikir, kenapalah tuhan menduga beliau dengan begitu berat. semasa dia digelar jaguh balapan dulu, memang dia selalu riak dan takabur, selalu berbangga. tapi dia sudah lama insaf. dia sedar, kaki itu anugerah tuhan. dia menghela nafas. sudahlah lumpuh, kereta rosak pula. kata orang, sudah jatuh ditimpa tangga. terus dia terfikir mengenai tangga tinggi di pintu masuk rumahnya. 'Ah! itu satu lagi masalah!'

Azmi menekan2 honnya berkali-kali. dia tau, dia tidak boleh putus harapan. walaupun dia lumpuh tidak bermakna dia harus mengalah. dia menekan lagi honnya. namun dia berharap tidak ada hospital berdekatan, kerana adalah salah menekan hon di kawasan hospital. Azmi tekan perlahan sikit.

tiba-tiba, kelihatan lampu menyala dalam kesamaran hujan. Azmi terkejut lega. Rupanya ada rumah di kawasan itu. kelihatan seorang budak dalam lingkungan umur 7 tahun datang menuju ke kereta beliau sambil memegang lampu minyak tanah. Azmi menurunkan tingkap sedikit.

"kenapa pakcik?" tanya budak itu seolah2 tidak hirau hujan yang membasahinya.

"pakcik lumpuh. kereta pakcik tayar pecah. ayah ada? pakcik nak mintak tolong"

"kesiannya. tunggu sekejap ye pakcik" budak itu berlalu. baju lusuhnya sudah basah lencun.

Azmi tertidur sekejap dalam kesejukan hujan dan aircond. tiba-tiba tingkapnya diketuk. Azmi terkejut, kelihatan budak tersebut bersama ayahnya di luar tingkap, kedua-duanya berhujan. azmi membuka boot. kedua-dua mereka mengambil peralatan di belakang dan mula membantu Azmi. Azmi bersandar lega, bersyukur kepada tuhan kerana di saat sebegini masih ada bantuan. dia memperlahankan aircond. sejuk. dia melihat cermin sisi. kedua anak beranak itu sedang membaiki tayarnya. dari perwatakan mereka, Azmi tahu mereka orang susah. tidak senang seperti beliau. hati kecil azmi berjanji akan kembali membalas budi kepada mereka kelak. hujan semakin lebat.

Di luar, hanya bunyi hujan dan peralatan membaiki berdenting-denting. Azmi hampir tertidur kali kedua dengan alunan perlahan lagu blues, sebelum terkejut apabila tingkap diketuk lagi. di luar, budak itu membuat isyarat 'best' yang memberi maksud sudah selesai. bapanya berdiri di tepinya. agaknya umur pakcik ini dalam 60-an, fikir Azmi. Azmi membuka tingkap sambil tangan kirinya menyeluk poket.

"Terima kasih pakcik sebab tolong orang tak berupaya macam saya" kata Azmi sambil menghulur not RM100 kepada pakcik tersebut. Pakcik itu sekadar mengangguk dan melihat saja wang di tangan Azmi.

"Ambillah pakcik. tak apa" tegas Azmi lagi. Pakcik itu membuat reaksi terkejut sedikit. tangan Azmi dan not 100 sudah basah dek percikan hujan.

tiba-tiba anaknya menyampuk "oh, ayah tak nampak. Ayah saya buta"



-----------------------------------------------------------------------

hari itu Azmi balik rumah sambil menangis. hari itu seorang buta dengan budak kecil sudah tolong menukar tayar keretanya di dalam hujan sambil dia bersenang lenang di dalam aircond.

mulai hari itu, dia berusaha untuk pulih dengan mengexercisekan dirinya di tangga tinggi rumahnya. dia juga ingin membantu orang kelak.

sekian. panjang tak?

Sunday, November 22, 2009

kisah Azmi Keting ahli sukan internasional

baiklah. lama saya tak bercerita. kali ini ada satu cerita yang saya improvise balik dari satu cerita favourite yang saya baca dari sebuah buku. dengar ya adik-adik.

(semua nama dan sesetengah jalan cerita telah diubah mengikut kesesuaian)

Azmi Keting adalah seorang atlit lumba lari yang terkenal. sejak dari tadika dia telah terlibat dalam sukan. rekod terbaiknya semasa tadika adalah tidak pernah di 'sep' setiap kali bermain polis sentri. namun dia tidak bangga. dia percaya ini semua anugerah Allah. cuma, sejak berumur 40 an baru-baru ini, dia sudah tidak aktif bersukan. "dah tua, duduk di rumah bersama keluarga cukuplah", kata Azmi di dalam hati sambil mengunyah maruku ikan.

Azmi adalah seorang yang beriman, down to earth dan juga dikenali dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir. dia cukup disenangi teman-teman. karakternya baik, suka bersosial dengan teman2..sehinggalah pada satu hari. Azmi sedang baring menonton rancangan kesukaan beliau iaitu ESPN tak kira sukan apa pun. tiba-tiba telefon berbunyi. Azmi berlari menuju ke telefon dan terlanggar bucu meja. dia terduduk kesakitan. kesan dari peristiwa itu kakinya telah lumpuh.

Azmi telah sedar dari komanya selama 2 minggu. kakinya sudah tak boleh digerakkan lagi. dia sedih membabi buta. 3 hari dia menangis. kaki adalah anggota badan yang paling disayangi oleh Azmi. dengar cerita Azmi pernah membuat statement "jika aku tak ada otak pun takpe asalkan boleh berlari". bodoh betul statement Azmi ni, fikir penulis. walhal penulis yang mencipta statement tersebut.

setelah setahun, azmi mula menerima kenyataan. dia redha dengan ketentuan tuhan. dia mula menggunakan tongkat untuk berjalan. kereta juga telah dimodified untuk kegunaan tangan sepenuhnya. ditambah pula dengan skirting lebih dan klip tali pinggang keledar hello kitty. malah terdapat juga sticker cupin di belah bonet kiri. Azmi kini boleh senyum kembali walaupun keadaannya masih menyeksakan. tapi cuma satu saja masalah Azmi. tangga pintu masuk rumahnya terlampau tinggi sehingga menyusahkan kehidupan seharian beliau. setiap kali keluar rumah beliau akan menyumpah seranah tangga tersebut. namun sebaik menjejak tanah beliau beristighfar kembali.

suatu hari, sedang Azmi memandu pulang dari menonton bola di kedai mamak. hujan turun dengan lebatnya. Malam itu gelap gelita, jalan kampung yang Azmi lalui tidak berlampu. Azmi mengawal keadaan dengan baik. tiba-tiba, Azmi ternampak bentuk seperti kura-kura melintas jalan, Azmi terkejut dan tidak sempat mengawal keadaan. keretanya melompat..

bersambung.

Thursday, November 19, 2009

OUTERINTERX lagi








--------------------------
ok kalau korang suka tengok benda pelik seperti ini, boleh datang ke 360 art develepmont studio dalam masa terdekat. tq.

untuk reference klik di sini

Sunday, November 15, 2009

Pertandingan Menggambarkan Peristiwa Menakutkan / Setaraf


sempena kemunculan filem ini di pawagam. aku julung-julung kalinya mengadakan pertandingan peristiwa menakutkan / setaraf. ini disebabkan feedback yang aku baca berkenaan filem ini. ada kata best, ada kata tak best. aku nak tengok sendiri pun tiket cepat gila habis.

tanpa mengambil kira jumlah beberapa pembaca yang biasa singgah di blog aku, aku terus mengadakan pertandingan tidak berlesen.

cara menyertai
anda hanya perlu menghantar penyertaan di dalam komen saya di entry ini berserta no akaun CIMB atau Maybank (untuk pengurusan hadiah).

contoh penyertaan

contoh 1: (format satu ayat)
"peristiwa paling menakutkan adalah semasa bontot saya gatal dalam dewan UPSR"

contoh 2: (format cerita pendek)
"pada satu hari di sebuah shopping complex, saya terasa sakit perut ingin berak yang amat sangat. ini kerana saya banyak makan telur rebus di kenduri pada hari sebelumnya. saya berjalan dengan laju terkepit2 ke tandas awam, hampir-hampir sampai ke muka pintu, saya telah terserempak dengan kawan lama dari sekolah rendah. dia sangat excited berjumpa saya. sungguh menakutkan sekali"

penghakiman & hadiah

Juri adalah aku sendiri semata-mata. penilaian adalah berdasarkan kreativiti dan kecekalan. pastikan memenuhi kriteria 'peristiwa menakutkan' atau lebih menakutkan dari filem 2012. ayat panjang tidak bermakna hebat.

karya pemenang pertama akan disiarkan di entry seterusnya nanti. aku tidak akan bias. pemenang pertama akan mendapat hadiah dalam lingkungan RM 7 - RM 10 dimasukkan dalam akaun beliau. aku tak tipu. ok la tu kan. babi. ingat senang nak buat pertandingan?

tarikh tutup

22 November 2009


----------------------------

sekian.

Thursday, November 12, 2009

peniup seruling yang rajin berusaha

semalam, selepas aku hantar intan pegi kerja, aku singgah di kedai mamak dekat equine park sini, minum-minum sambil baca suratkhabar. aku bagi markah A- untuk suasana pada hari itu, angin sepoi-sepoi bahasa dan langit mendung sikit. suasana kegemaran aku.

tengah aku khusyuk membaca, ada seorang remaja menyentuh bahu aku. hampir-hampir aku simbah teh o suam ke muka beliau. jenis tak bagi salam, pikir aku.

sekali dia buat gaya, tunjuk pada mulut, dan buat gerakan tangan, yang bermaksud dia bisu. oh, tak boleh cakap rupanya, pikir aku lagi. aku pun buat muka paham, dengan membentuk mulut seperti huruf O, tapi tak keluar bunyi. sambil itu juga aku mengangguk perlahan, menjiwai watak. Dia nampak suka dengan cara aku respond. Yusuf Haslam patut cari aku untuk mengganti watak-watak hero beliau yang tak berkesan.

remaja itu kemudian meletak kertas kecik atas meja aku. terulis di situ

"saya main muzik. beri seikhlas hati"

terus dia meniup seruling buluh berwarna coklat di depan aku. tidaklah sedap mana bunyinya. tapi, bagi aku situasi ini 'rare' juga. lebih baik dari pakcik-pakcik minta sedekah yang entah dibawak oleh sape-sape ntah. yang ini ada usaha sikit. nampak bakatnya.

aku tutup mata sikit. menghayati. ah, memang tak tau lagu apa dia ni main, sekejap bunyi macam 'dil to pagal hei' sekejap bunyi macam soundtrack 'musang berjanggut'. dia ni main belasah je aku rasa. setelah mengira duit yang aku ada menggunakan teknik GSTK, aku bagi dia seringgit sebagai memberi sokongan terhadap golongan OKU yang berbakat dalam bidang seni.

--------------

hari ini lepas hantar intan pegi kerja, aku singgah lagi mamak. minum dan baca suratkhabar. tengah aku lepak-lepak sorang, tiba-tiba aku terdengar bunyi mcm seruling.

"wah, Pied Piper of Hamelin ada lagi hari ni" kata aku sambil melihat tikus sebesar kotak kasut berlari masuk ke dalam longkang.

aku pun intai-intai, aku nampak remaja semalam. hari ini dia lebih bergaya, pakai jaket jeans. malah, hari ini dia meniup rekorder. walaupun rekordernya berbentuk biasa mengikut sukatan pelajaran KBSR tapi menampilkan warna hijau transparent. style juga. dah upgrade rupanya. maju juga business dia.

esok aku plan nak datang lagi, mungkin dia main trombone pulak.

Tuesday, November 10, 2009

cerita-cerita secara random.

1. benda pertama yang aku lukis semasa kecil adalah kepala kura-kura, kata mak aku.

2. semasa darjah 2 aku pernah membasuh dan menyimpan bahagian tulang sejenis ikan sebab aku rasa ia cantik. bersama koleksi tulang-tulang itu, ada juga aku simpan biji buah salak. juga sebab ia cantik. akhirnya kak mah, pengasuh aku telah terjumpa koleksi eksotik ini dalam almari baju aku dan menjerit berkata 'kenapa simpan ni? ini pelesit!!'. sampai sekarang aku tak paham lagi maksud beliau.

3. semasa kecil, aku selalu menyimpan impian untuk membela kura-kura dalam akuarium. tetapi di zaman itu, kedai ikan di kawasan rumah aku tak jual kura-kura. yang ada hanya ikan emas, ayam dan burung merpati. semasa itu aku berfikir, kalau ada kura-kura, aku harap dia akan terkena toksik, menjadi mutan seperti ninja turtle, dan berkawan dengan aku. aku akan bermain susun-susun kusyen dengan beliau.

4. semasa kecil, aku tertipu oleh anak ayam warna-warni yang dijual di pasar tani. rupanya apabila mereka mencecah remaja, mereka bertukar menjadi ayam biasa yang bosan.

5. semasa kecil juga, abah melarang aku memakan cikedis. katanya buah pinggang boleh rosak. tiap-tiap kali balik dari kedai kak yah, aku akan makan dia atas basikal. potato chip plastik oren yang seposen tu akan disumbat-sumbat secara membabi buta ke dalam mulut.

6. semalam kawan aku seorang pensyarah fashion design bagitau, jangan potong kain hari selasa. nanti salah potong. gila kurafat. hahaha

7. kata bini aku, boyfriendnya semasa sekolah adalah anak seorang askar. kuku sentiasa dipotong kemas. rambut pendek, kemas. kalau rambut beliau panjang, beliau akan demam. haha.

8. di kawasan rumah aku ada seorang budak perempuan. dia dipanggil tetek sebagai nama manja oleh ahli keluarga beliau. namun begitu ia tidak mencetuskan kontroversi kerana di kelantan kami panggil buah dada, kopek.

9. semasa di sekolah aku tidak pernah menang pertandingan melukis. aku percaya juri-juri sekolah tidak cukup kontemporari.

10. punca utama kerosakan selipar aku semasa kecil adalah kerana tapak sebelah kanannya haus. ini berpunca dari amalan songsang kanak-kanak zaman itu yang membrek basikal dengan menggunakan kaki pada tayar depan.

11. saat perubahan pagi dari gelap ke cerah adalah durasi masa yang paling memorable bagi aku. semasa kecil, ini adalah masa bersiap untuk pegi sekolah. emak aku akan menyikat rambut aku belah tengah.

12. semasa kecil, aku menyimpan cita-cita untuk membela misai.

13. aku percaya, memori-memori seperti ini, walaupun remeh, mampu menghalang manusia menjadi jahat.

14. aku tidak bakar kerusi di stadium bukit jalil.

Saturday, November 7, 2009

Piala Malaysia : sebelum/selepas

cuba cari perbezaan dalam kedua-dua gambar ini. itu saja. aku letih.

aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaasebelum

aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaselepas

----------------------------------

oh, tidak lupa juga,

sebagai penonton bolasepak yang professional, aku mengucapkan tahniah kepada Negeri Sembilan. sekian.

Friday, November 6, 2009

Piala Malaysia - Kelantan lawan Negeri Sembilan

kau tau aku beli tiket berapa ringgit dengan ulat tadi? 40 ringgit siall. babii. kalau kelantan tak menang 5 - 0 besok memang tak puas hati. hahahaha

Wednesday, November 4, 2009

Tuesday, November 3, 2009

aku baru-baru ini

aku baru-baru ini masih lagi macam aku yang lama,

tetapi ada kerja nak dibuat sedikit. ada juga beberapa perubahan berlaku dalam jangkamasa 2-3 bulan ini. apabila rutin bertukar, aku selalu lemah dalam menukar jadual.

baru-baru ini aku cuba bersikap environmentalis. sayangkan alam sekitar. apabila aku makan gula-gula, plastiknya aku simpan ke dalam poket. padahal, sebelum keluar dari tempat parking, aku bukak pintu sedikit dan buang segala tin-tin dan gelas kertas secara cantik berdiri di tempat parking. habis tercalar prinsip aku. lama kelamaan aku tidak lagi simpan sampah dalam poket seluar. alasannya, makcik-makcik cleaner nak buat apa pulak nanti.

baru-baru ini, aku sibuk betul dengan assessment pelajar. semua orang pun buat kerja ala kadar. letih rupanya kalau bercakap tak henti seharian. letih otak. tapi tak boleh marah juga. aku juga kadang-kadang buat kerja ala kadar juga.

baru-baru ini, aku selalu cakap orang putih sendirian dalam kereta. kerana aku akan ambil test dalam masa terdekat. untuk sambung pelajaran. aku selalu juga tidak dapat ingat vokabulari. jika aku berhenti di traffic light dan perasan orang sebelah sedang memerhatikan aku, aku akan tekan telinga dengan jari telunjuk seperti sedang bercakap menggunakan alatan hands free call.
yang penting, aku kena practise. sibuk betul.

baru-baru ini, aku juga sibuk dalam persiapan untuk outerinterx yang akan datang. dengan projector aku yang buat hal pulak. dengan nak cari satu projector lagi pulak. inilah bahananya nak mengada-ngada buat sculpture electronic. tapi takpe asalkan aku puas hati. dengar cerita Hasnul J. Saidon berminat dan sanggup nak menulis untuk exhibition kitorang. aku harap projek ini sukses.

baru-baru ini juga, aku rasa blog aku serius sangat. nantilah aku free sikit aku menulis lagi.

Wednesday, October 14, 2009

tragedi cucur udang

"Sampai hari ni mak aku ingat cucur udang adalah makanan kegemaran aku. padahal biasa-biasa je. ada je makanan lain yang lagi best."

aku semasa tu, baru masuk taski. masih confuse lagi antara tahyat akhir dengan doa qunut. baru umur 6 tahun. dah terlibat dengan tragedi dramatik ni. Ceritanya, aku pegi taski tumpang Makcik Lah depan rumah aku. sebab anak dia, Ju dan Ja pun pegi taski yang sama. Ju pandai lukis helikopter (ayat last ni takde kaitan).

Setelah bersiap untuk pergi taski, aku keluarkan kaler pensil Luna aku, aku check balik - putih, kuning, oren, pink, merah, purple, biru muda, biru gelap, hijau muda, hijau tua, coklat, hitam. ok cukup. aku pegi ambik kasut belakang peti sejuk, keluarkan suratkhabar, pakai kasut dan gerak ke rumah Makcik Lah. aku masuk rumah Makcik Lah je, aku tengok Ja tengah meraung sebab Ju curi jeruk mangga dia. meraung atas kerusi. buruk betul. tak malu. hahaha

Mak aku pesan, kalau pegi rumah orang jangan dok buat lapar sangat. kalau orang offer makanan cakap dah makan kat rumah. jadi aku lepak je la kat ruang tamu. sambil lepak, aku buat gaya Faizal Husin menari macam robot sementara orang tak tengok. cam sial gaya.

tiba-tiba ju keluar dari dapur. dia cakap umi dia ajak makan cucur udang. aku terus berpeluh dingin. jadi tak keruan. sambil mengelak bertentang mata, aku cakap kat ju,

"takpelah. dah makan tadi kat rumah." dengan dada berdebar-debar.

"laa, takpe la. tak bagitau Makcik Aini lah. cucur udang je pun" Jamin Ju.

dengan tak semena-mena aku dah follow belakang Ju masuk dapur. sempat aku buat step robot Faizal Husin sepam lagi belakang dia. style. lalu, bersungguh aku makan cucur udang. aku makan tepung je, udang aku keluarkan, susun atas meja. nak makan sekaligus nanti. aku siap kira lagi, ada 12 udang.

akhirnya, kami pergi taski. macam biasa, taski menyeronokkan. ada pokok besar depan kelas. dekat atas pokok tu ada labah-labah besar buat sarang. lama jugak aku perati sarang tu tunggu ada serangga lekat ke. bukan senang nak tengok labah-labah makan. sekali takde pulak. masa rehat aku sia-sia macam tu je. "babi punya labah-labah. lenguh kaki aku." aku pikir dalam hati. mana boleh cakap babi terang-terangan macam tu je kat taski. nanti ustazah marah.

aku balik taski, pegi main jap. balik main aku lepak depan rumah. bapak aku tengah potong-potong dahan pokok mangga. aku pulak tengah buang kemuncup yang lekat kat seluar trek aku. aku tarik-tarik guna pembaris je. banyak sangat. aku nampak Ju datang dari rumah depan. macam biasa lah, dia pakai baju Phuket Island. Mak dia orang sebelah golok nun.

"Encik Rahim, tadi abang cik makan cucur udang kat rumah. banyak. siap kumpul-kumpul udang dulu atas meja" one shot je dia report.

bapak aku masuk rumah ambik rotan.

Monday, October 12, 2009

kitaran waktu manusia

pagi semalam aku ngantuk betul nak bangun tido. aku paksa punya paksa punya paksa, aku bangun duduk bersila di bucu katil. lalu aku berfikir, kenapa sesetengah orang bangun tido dengan senang? adakah bangun tido ada kaitan dengan faktor genetik?

--------------

di waktu tengahari, aku berpikir lagi. apabenda la manusia ni, sikit-sikit nak salahkan benda lain. genetik lah, itu lah, ini lah. diri sendiri tak nak ambik inisiatif. takde azam. cis!

-------------

tiba waktu petang, aku dah tak berpikir. aku dah insaf dah. aku bertafakur dan mengukuhkan azam aku. aku mesti kuat berjuang. iltizam mesti tinggi. vision kena ada! aku mengamalkan petua yang diajar oleh kebanyakan pakar motivasi. tutup mata. tarik nafas dalam-dalam, hembussss.....tarik nafas dalam-dalam, hembuss, tarik nafas, hembus, tarik nafas, hembus,

terus aku terbabas sampai waktu isyak.

-------------

malam. aku berusaha punya berusaha punya berusaha. lalu aku terfikir, susah nak tido ada tak kaitan dengan faktor genetik?

Sunday, October 11, 2009

keinginan terkini aku. ada sape-sape mahu ambik tau?

keinginan terkini aku adalah aku mahu duduk bersila bersama isteri aku di balkoni kayu sebuah rumah, yang menghadap laut, pada cuaca mendung seolah-olah macam nak hujan, dan dihadapan aku ada tembikai yang dipotong separuh bersama 2 sudu.

jika tak boleh, aku mau baring di rumah papan bersama isteri, menghadap tingkap nako yang boleh nampak pokok rendang ditiup angin di luar rumah, dan suasana sunyi seperti asrama tengah cuti, hanya ada bunyi radio memainkan lagu klasik perang dunia kedua bergema dari jauh.

jika tak boleh, aku hanya mau naik motor bersama isteri di jalan kemaman - kuala terengganu, dan memakai helmet yang ada visor di mana suara aku dapat didengar dan aku boleh test suara aku sendiri .

jika masih tak boleh, aku hanya mahu isteri di sebelah.

susah jugak duduk jauh begini.
aku nak tukar kerja lah.

Wednesday, October 7, 2009

pengalaman aku di mlm pertama. sungguh mendebarkan.

semalam ada member yang aku baru kenal call. bersungguh dia nak ajak aku keluar minum. sebab aku dah tolak beberapa kali sebelum tu, jadi kali ni aku tak tolak.

aku tau dia memang nak ajak aku join dia punya bisnes MLM. tensen betul aku. namun aku redha sajalah. aku redah, dan inilah pengalaman aku di MLM pertama. sebelum ni dengar-dengar gitu je.

cilake betul anggapan korang. apa korang ingat suka2 je aku nak cerita malam pertama? gila!

di kedai tersebut, semua orang sibuk mempromote business. semua orang ada pen dan kertas, dan mereka-mereka yang advance mempunyai laptop. di atas kertas mahupun laptop, terpapar gambaran beberapa piramid. mula-mula aku sangka diorang tengah discuss pasal seni mesir purba, rupanya aku salah sangka. cis.

kawan aku mula mempromote. aku dengar dengan teliti dulu dan memerhatikan catatan dan lukisan beliau. hmm, cantik jugak. dia ni patut amik course art & design ni, pikir aku. garisannya bagus, ada quality of lines. setelah habis dia bercerita, mengenai masa depan, kereta baru, duit riban-riban, bagi duit kat mak bapak, goyang kaki dan sebagainya, aku pun mencelah.

'aku tak nafikan, sistem ni perfect, boleh buat orang hidup senang. tapi dia kurang beberapa aspek penting la aku rasa. kalau la ada aspek psikologi, yang memberi orang memilih, membuat orang tak tertekan, tak membuat kawan-kawan benci kepada kita dan ada kebebasan, pasti sistem ni lagi perfect" aku kata.

member aku nampak hampa dengan aku. borang keahlian aku sekadar tenung je. lepas itu dia berhujah, aku berhujah, dia berhujah, aku berhujah. tapi aku selalu kontrol situasi. aku tak nak diorang, ataupun aku, tertekan. aku cakap lagi,

'kalau la aku join pun, aku tak sanggup nak letak diri aku di situasi kau mcm sekarang ni. mengharap orang berkata ya untuk apa yang kau promotekan. aku tak mampu nak bagi komitmen macam ni.' aku gelak.

sekali datang kawan dia, cover-cover, tengok kiri kanan, bukak beg sandang dia depan aku. ada berlonggok duit dalam tu. dia cakap 'ha, tengok. aku minum2 je, duit masuk macam ni'

terkejut aku.

aku bukan terkejut sebab duit tu banyak. aku terkejut sebab dia ingat semua orang terpukau dengan duit ke? memang duit penting. tapi aku ada prinsip juga. aku selalu tengok orang2 kampung, di kelantan. kalau diorang sokong barisan nasional, macam-macam dia dapat, duit, baja subsidi, pertolongan etc. tapi dia gantung bendera pas juga depan rumah. hah, itu bukan soal duit. itu prinsip. aku bukan cakap pasal politik ni. tapi nilai kebebasan. pasal 'choice'.

aku bukan la tak nak senang sekelip mata. tapi aku nak susah jugak. pernah sekali, seorang saintis membantu seekor rama-rama keluar dari kepompong dengan membelah kepompong menggunakan pisau. tau apa jadi? rama-rama tu cuba terbang, tapi tak boleh. last-last dia mati tepi kepompong. lepas itu barulah saintis itu tau, kesusahan keluar dari kepompong, membantu menguatkan kepak rama-rama. memang itu prosesnya. fitrahnya.

aku ada talent tuhan bagi. aku gunalah talent ni, buat duit sikit-sikit pun takpe.

kalau korang takleh nak buat apa, asyik dirundung malang, nak buat apa pun tak berbakat. aku syorkan korang pegi join MLM mana-mana. serius. benda ni bagus. boleh tolong keluarga. tolong orang melayu.

aku hanya tak nak. tak salah kan?

Sunday, October 4, 2009

4 foto dari rupajiwa.

aku sibuk betul 2-3 minggu ni. tak sempat langsung nak menulis. ada juga idea lalu lalang dalam kepala otak aku tapi memang tak sempat nak menulis. ramai orang jumpa aku nak tengok gambar kahwin je lebih. so sementara rupajiwa studio dah post 4 keping gambar kepada aku, aku paste je la kat sini untuk tatapan umum.





dan jangan lupa datang kenduri rumah aku pulak 17 oktober ni.

ok nanti lepas aku settle-settle semua, aku berjanji akan menyajikan penulisan2 yang lebih mantap dan ganteng, allrite!

Sunday, September 27, 2009

Wednesday, September 16, 2009

entri ke 100 saya sebagai seorang blogger muslim yang tampan.

malam semalam aku baca sebuah novel. bahasa indonesia.

sebelum ni adik aku paksa aku tengok filem ayat-ayat cinta. katanya touching. aku sampai sekarang tak tengok, bukan tak nak tengok. tak berpeluang. sampai la minggu ni, officemate aku telah mengepass novel ayat-ayat cinta kat aku. sesuai untuk orang nak kahwin, dia kata. 3 hari jugak buku tu terbiar kat atas katil aku. sampai la semalam, baru aku ambik baca.


aku baru baca suku, aku dah touching kaw2. serius. muka heroin dia aku dah bayangkan secantik intan di sepanjang pembacaan. ehem.

penulis ini, berdakwah dengan berkesan. kau bayang lah, dia buat novel cinta. novel cinta yang penuh keIslaman. Jiwang gaya Islam. Hati aku yang sensitif ni terus terguris (chewah). boleh jadi panduan muda-mudi yang lalai sekarang. rupanya ada cara bercinta dalam Islam. malah lebih cool. terbaik.

aku rasa banyak benda lagi boleh dibuat guna style Islam. Kita kena berani nak buat style baru. aku bukanlah alim sangat. tapi, aduh. kalau benda-benda mcm ni jadi trend, jadi lifestyle, kau tau apa akan terjadi di masa depan? memang style. di sini ada satu vision :

September 2030, remaja-remaja berkumpul di Annexe, Central Market. petang ini ada gig. Kelihatan beberapa remaja lepak di sudut dewan. membaca quran dan berbincang mengenai isu-isu dunia masa kini. kelihatan 3 orang datang. salah sorangnya adalah pemain dram kumpulan rock Al-Islam yang akan main petang ini juga, Muhammad. dia selalu berbangga namanya sama dengan Rasulullah. sebab itu dia tak tinggal sunnah. walaupun berbaju Pink Floyd tapi serban selalu di bahu. Jeans koyak tapi aurat tetap aurat. dia pakai tight kat dalam.
Dia berjalan kat budak-budak yang tengah shuffle di hujung kedai mamak. dia pegang sorang, tanya soalan, lepas tu lempang budak tu sekali. ada ke patut rukun Islam ada 8. shuffle je lebih. ilmu takde.

di sebelah sudut sana pulak kelihatan geng-geng punk baru keluar surau semayang asar. terus diorang pegi setting-setting rambut balik. diorang memang biasa semayang dulu baru setting rambut. sebab nak ambik air semayang kan. diorang tak sabar nak tengok band punk muslim, Ransyid main hari ni. menampilkan lagu rancak bentuk nasyid. diorang punya lirik memang boleh buat orang insaf. lepas lipat kain pelikat, diorang pakai boot dan pegi pusing-pusing kawasan tengok ada sape2 minum beer kat kawasan tu. kalau ada memang parah la kena belasah.

"ada ke patut minum beer lagi zaman ni? budak-budak tak cukup iman betul, tak true!" kata Hatim Armstrong, selaku vokalis Ransyid yang mempunyai darah campuran melayu - turki.

di tepi-tepi dewan, budak2 jual t-shirt indipendent dan stuff2 lain tengah dok berdiri tunggu organizer bawak meja, mana boleh main hampar kat lantai je. Semua zine pun ada ayat Quran sekurang-kurangnya sepatah. kena hormat. nak letak tabung derma palestin lagi. Ada dua tiga orang skinhead girl datang belek2 zine, semua pakai tudung, sorang pakai purdah. tali pinggang nak spiky-spiky. Memang budak2 sekarang tau jaga kehormatan walaupun gaya pelik-pelik. kalau nak mengorat diorang pun, make sure at-least khatam quran, kalau tidak kena gelak je. ada sorang mamat ari tu nak berkenalan, tapi dengar-dengar cerita kena reject. sebab member-member dia pecahkan rahsia dia pernah ponteng semayang Jumaat. malu gila dia.

Gig bermula, lelaki masuk belah lelaki, perempuan masuk belah pempuan. Majlis habis sebelum Isyak, dan of course ada break Maghrib. Organizer mana berani tak buat break? Itu hari si Cheong terlupa nak buat break Maghrib, semua budak blah. Band pun tak nak main dah kalau dia anjur. Joe Kidd dah ugut nak ban kaset2 keluaran Cheong kat ricecooker. menyesal tak hingat dia.

semua pulang dengan penuh keimanan. tak sabar nak datang gig minggu depan.

---------------------------------------

ini adalah salah satu contoh situasi sahaja. macamana? Penuh keberkatan. haha. Time ni, Malaysia akan declare dirinya sebagai negara Islam sekali lagi. kali ini, negara Islam yang betul2. menyeluruh. semua aspek. InsyaAllah.

Ini entri ke 100 saya. sekian terima kasih.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

Sunday, September 13, 2009

lama tak buat entri berkenaan bahasa meriah kan.

baiklah, sebelum ni ada 2, 3 series jugak berkenaan merosakkan bahasa. aku dah insaf. kali ini jenis lain sikit. rosak tak rosak sangat lah. tapi ok lagi lah. at least aku tak tambah huruf W di hujung perkataan-perkataan aku. ok kew?

Untuk pengetahuan anda,masa aku sekolah rendah, aku selalu confuse huruf N dengan no 6. terjadi beberapa kali. orang sebut 'N' aku boleh terbayang nombor 6 dalam otak aku. sumpah aku tak tipu.
otak visual dengan otak literal aku kadang-kadang bersimpang siur. tapi aku rasa ada kena mengena dengan bahasa kelantan, sebab N disebut 'en' dan 6 disebut 'ne'. tah la aku pun confuse haha. (eh, korang tak rasa kena tipu ke. tak serik lagi baca blog aku)

jadi sebagai menghormati ketidakfahaman bahasa yang telah berlaku pada aku di sekolah rendah, maka aku telah cari perkataan-perkataan yang mampu mengelirukan minda kita. (perbandingan dibuat dengan bahasa inggeris.)

merrily (english) - dengan gembira. cth : 'budak itu berlari merrily di atas padang golf itu'
merelit (kedah) - berkilat. cth : hang punya kepala ni dah macam padang golf. merelit!

demonology (english) - pengkajian sistematik mengenai demon/syaitan.
demolony tidok supo mulo (kelantan) - lirik dalam dikir barat. tidak ada kena mengena dengan syaitan.

blasphemy (english) - kutukan kepada tuhan. cth : blasphemy adalah perbuatan berdosa!
bleming (kelantan) - berminyak. cth: guano mulut mu bleming ni Firdaus? mu make mi goreng di bulan ramadhan?? berdosa!

springbok (english) - sejenis rusa yang melompat. haiwan rasmi pasukan ragbi South Africa.
Ghimbok (kedah) - tumbuk dengan kuat. cth: hang ni yang buat perangai nak makan daging rusa pasai apa? kang sia-sia ja aku ghimbok kang!

Adebayour - nama pemain bola sepak yang terkenal di luar negara.
Adibah Noor - nama penyanyi terkenal dalam negara.

Jelly - agar-agar. cth: 'lama betul tak makan sumi jelly.'
Jeli - sebuah daerah di Kelantan. cth: 'nanti kau pergi Jeli jangan lupa belikan aku kelapa jelly!'

alamak.
weh, aku dah lewat nak buka puasa! nanti aku sambung lain kali!
see you soon.

Thursday, September 10, 2009

blog pertama saya

ini adalah entri paling paling pertama aku dalam dunia blog. diterbitkan dalam blog friendster pada 2004. sebagai menghormati penulisan kali pertama di alam cyber, aku postkan di sini untuk bacaan semua.

family bonding?

tak menarik langsung kan tajuk penceritaan aku ni? tapi takpe..kau baca dulu. Aku secara tiba tiba terasa nak menaip blog ni (sebenarnye aku baru bergiat je dalam arena taip menaip ni) sekarang cuti..yaaa…cuti..yang pada awalnya kelihatan best bagi orang yang rumahnya jauh jauh…aku, dengan jarak rumah lebih kurang 15 km dari uitm machang, terasa macam tak best pulak cuti ni..lepak rumah..dengan family..adik adik yang gemuk2 dan membosankan (sama macam aku) aku kadang2 terasa down..

aku nak jugak pegi berjalan jalan menghirup udara segar bersama kawan kawan yang lain..tapi ade 2 masalah..1.aku takde duit (kalau aku ade duit pun aku boros) dan 2.mak aku tak bagi pegi.. kenapa mak aku tak bagi pegi jalan? haaa..itu la yang cuba aku nak ceritakan ni…

pada pendapat aku.. pertama sekali, mak aku tak bagi pegi jalan2 adalah kerana aku takde duit dan tak cuba cari duit pun.. aku tido, tengok tv, isap rokok, tido balik, tengok tv, isap rokok dan rutin tersebut berterusan dengan perkataan ‘makan’ diselitkan di antara semua perkataan. keduanya, sebab mak aku adalah seorang mak yang bagus. Dalam usia aku 23 tahun aku kononnya macam dah dewasa la..bebas..dah besar..tapi hakikatnya selagi kau tak kawin, mak kau adalah mak kau.. mak yang typical.. membebel,masak,pegi pasar,tengok tv,lipat kain depan tv,masak,tukar susun atur dalam rumah dengan aku sebagai kuli pengangkat kerusi,katil dan sebagainya… abang aku, 25 tahun, dah kerja akan tetap mendapat panggilan dari mak aku sepanjang perjalanan dia dari kelantan sampai ke rumah dia kat kerteh, terengganu dengan ayat ‘dah sampai mane?’ (nak pastikan dia drive dengan selamat la kot) dan banyak lagi contoh

sesetengah kawan aku, bila bercerita pasal keluarga, akan menunjukkan seolah olah diorang dah independent, tak terkongkong oleh family, balik lewat pagi, hisap rokok kat ruang tamu rumah, sepak tiang rumah (aku saje tambah biar nampak ganas sikit) ++ tapi bagi aku, diorang sama ada melawan cakap ibu bapa atau makbapak diorang tak bertanggungjawab sebab aku rasa pendapat diorang adalah sangat childish… seolah olah bila kau terikat dengan keluarga, ianya tak cool..

jadi, sebagai penutup, aku ingin menekankan… apabila waktu cuti, berbaktilah kepada keluarga… sebab.. tah.. bagus la kot.. eh, alamak mak aku panggil suruh basuh pinggan.. aku kena tutup pc ni (sambil pack barang nak lari dari rumah) chow dulu..

Tuesday, September 8, 2009

cantik tak blog i, nyah?

maaflah jika ayat aku pada tajuk nampak geli.

semasa aku di UiTM dulu, geng-geng lembut, nyah-nyah, atau apa saja yang korang panggil biasanya menghias bilik pada tahap extreme. langsir corak bunga, pasu bunga, karpet, alas meja, rambu-ba-rambu-ramba dan juga sejadah untuk buat iron berada di mana-mana. mereka juga ke tandas dengan berkemban towel, dan menggulung towel di kepala. selipar pink tapi bulu kaki 3 inci. takde toma'ninah langsung.

jadi setelah aku meletak iklan di header bar atas, tiba-tiba aku terasa macam baru pasang langsir. itu yang tajuk aku macam tu. padahal niat aku hanya nak mengaut keuntungan dari pengiklan. (untung sangat ke?) samalah macam orang bagi sewa tapak pasar ramadhan kan.

peduli lah. janji jangan ada iklan arak atau iklan babi sudah. ada ke iklan babi?

atau kau rasa menggangu? kalau mengganggu sila bagitau aku. korang punya pasal mak sanggup cabut balik langsir.


Monday, September 7, 2009

rayuan untuk pinjaman JPA.

adik aku mintak buatkan untuk dia. berapa korang rasa aku patut cas?

Pada abad ke 13, penaklukan pihak Monggol terhadap dunia Islam terutamanya di bahagian Asia Tengah telah menyebabkan pembakaran kitab-kitab ilmuwan Islam secara besar-besaran oleh orang-orang Monggol. Malah sungai Tigris dikatakan bertukar menjadi warna hitam kesan daripada dakwat dari buku-buku yang dibuang ke dalamnya. Namun selain dari tragedi ini, terdapat satu faktor lagi yang menyebabkan kitab-kitab agung hasil Ilmuwan Islam hilang di muka bumi - sumber kewangan.

Dikatakan bahawa ilmu-ilmu astronomi yang telah dikaji oleh orang Islam tidak dijumpai di Baghdad, tetapi dicetak di Britain sebagai ilmu dari orang-orang eropah, kesan dari ekonomi Islam yang jatuh akibat peperangan dan perpecahan politik sekaligus menolak teknologi percetakan. Jelas dapat dilihat bahawa keadaan ekonomi telah menghalang kepada penerusan ilmu, dan dalam sekelip mata telah melenyapkan kegemilangan tamadun Islam.

Saya mengaitkan kisah dari sejarah ini dengan konteks diri saya yang sedang menuntut ilmu. Saya yakin kekurangan sumber wang akan mempengaruhi keadaan individu yang sedang menuntut ilmu. Kursus seperti Kejuruteraan Metalurgi sudah pasti menagih perbelanjaan yang lebih kerana ia memerlukan penelitian yang lebih kepada kedua-dua aspek teori dan teknikal. Kedua-dua aspek ini memerlukan dana tambahan untuk menyokongnya, dalam erti kata yang lebih mudah ; buku dan material.

Dalam masa yang sama, saya juga memerlukan pinjaman ini untuk memastikan saya dapat mencari ilmu dalam keadaan yang paling selesa. Ini termasuklah pembiayaan keperluan asas saya seperti makanan,tempat tinggal dan bahan keperluan sampingan yang lain. Secara jujurnya, saya ingin memberi contoh - jika saya kehabisan ubat gigi pada suatu hari, saya pasti pembelajaran saya akan terganggu pada hari tersebut. Dan sudah pasti saya akan mengelakkan kerja kumpulan yang memerlukan perbincangan. Ini adalah realiti yang ironik, yang cuba saya bayangkan.

Rasulullah pernah bersabda bahawasanya sesiapa yang sedang menuntut ilmu, seolah-olah sedang berjihad di jalan Allah. Sebagai orang Islam saya menganggap setiap sumbangan, tajaan malah pinjaman sebagai satu amanah kepada diri saya. Saya akan gunakannya sebagai satu kelebihan untuk mengaut sebanyak mana ilmu yang mampu. Saya akan membuktikan bahawa saya adalah salah seorang modal insan yang terbaik untuk negara.

Saya percaya saya boleh berlari dengan laju, namun jika diberi kasut yang baik, saya yakin saya mampu lari dengan lebih laju. Jika saya mendapat tawaran ini, saya akan menggunakannya pada tahap maksimum - sehingga kasut tersebut lusuh ataupun koyak.

Dan jika saya berjaya, sudah pasti saya akan mengingati jasa mereka yang menghadiahkan saya kasut tersebut, sekaligus menggalakkan generasi-generasi akan datang untuk lari bersama menuju kejayaan.



ke banyak sangat metaphor aa?

Sunday, September 6, 2009

bacalah buku.

aku bukannya seorang yang gagah.

aku tiada muscle di perut. tiada urat muncul jika menggenggam tangan. (kecuali urat yang warna biru tu, nak buat apa. nak isap dadah boleh la) tiada kepak seperti perenang olimpik. akan duduk kesakitan jika paha terlanggar bucu meja semasa berkejar untuk mengangkat telefon. aku berpeluh setiap kali naik tangga. dan lenguh lengan selama 5 hari setiap kali cuba bermain bowling. mengelak bertemu dengan anjing tiap kali keluar dari kereta, malah melihat kiri dan kanan apabila melintas jalan.

aku tidak berperawakan mengikut citarasa hensem hollywood.

aku tidak mempunyai dagu terbelah, tidak sesuai memakai singlet, nampak janggal dengan spek hitam terminator, dan juga rendah orangnya. aku mesti menjengketkan kaki untuk melihat muka aku secara full pada cermin kecil yang tergantung di bilik member aku. jika aku membeli seluar berharga 50 ringgit, aku kena potong kakinya (rugi lebih kurang 12 ringgit). aku juga tidak suka pakai cargo pants, kerana kalau potong, memang tak style - mana style kalau ada poket tepi kat tumit?

aku tidak mempunyai badan yang sasa dan kukuh.

ibu bapa aku tak pernah suruh aku potong kayu api, atau menjadi buruh untuk menyara keluarga. aku tidak mampu karate pensel seperti pakar motivasi buat, dan akan sakit leher jika tersilap bantal. keluarga juga tidak pernah memberi latihan ketahanan intensif ala tentera. sekadar rotan jika malas belajar.

ok. dan libas dengan getah paip sekali dua.

namun aku tidak pernah mengeluh, malah bangga.

jika aku dilahirkan di zaman nabi, aku mungkin tidak membantu dalam peperangan fizikal. tapi aku akan mendesign senjata-senjata baru untuk tentera islam. mungkin.

aku juga akan membantu mencipta strategi-strategi baru dalam berdakwah dan berperang. atau menulis buku agung berkenaan tips-tips untuk berjaya.

mungkin juga menghasilkan karya-karya seni yang mampu menaikkan semangat juang tentera-tentera islam, dan menambah ilmu mereka.

aku juga akan merekabentuk panji-panji dengan design kontemporari pada masa itu, sebagai lambang kekuatan tentera, melambangkan tamadun yang telah kukuh, menaikkan rohani perjuangan kami, dan menggentarkan jiwa musuh.

dan akan berdoa sepanjang malam, untuk mendapat idea dalam menyumbang kepada umat islam sedunia.

-----------------------

Ya Allah. berikan aku otak yang pintar. jika aku tidak mampu jadi panglima, aku mahu jadi cendekiawan. jika aku tidak mampu menumbuk mukanya, aku mahu menyentuh hatinya.


orang islam, jangan ponteng sekolah. bacalah buku.

entri serius sempena bulan ramadhan.

Wednesday, September 2, 2009

di kaki bukit Krakatoa

kenangan di kaki bukit Krakatoa semasa pergi mengutip herba dan pohon renek hasil dari lahar gunung berapi silam. kelihatan penulis bersiul sambil menepuk2 tangan memanggil kuda padi beliau.

model professional memang selalunya tenang apabila berhadapan dengan kamera.

Wednesday, August 26, 2009

taman tema perkahwinan.

ok. dalam sebulan lagi aku akan kawin.

setiap kali aku bagi kad kahwin kepada seorang perempuan, diorang akan tanya "tema ape?"
bila aku jemput student aku, diorang tanya "tema apa ncik haris?". aku pun rasa pelik juga. tema bagaimana ya? mungkin diorang tanya kaler ape kot. aku pun tak pasti.

jadi, untuk menyenangkan mereka-mereka ini, aku akan membongkar rahsia berkenaan idea aku dan bakal isteri dalam menjayakan majlis kami nanti. baiklah.

11 tgh - hadirin akan tiba di rumah Intan. semua hadirin akan diminta beratur di sawah padi mengikut kata komander yang bertugas. membuat barisan mengikut keluarga, kawan-kawan dan sebagainya. kemudian harus tunggu dalam keadaan senam diri.

12 tgh - pengantin lelaki datang menaiki burung garuda. apabila mendengar sahaja tempikan burung garuda, peserta silat pulut dalam kuantiti 3000 ahli, mula bersilat secara rawak di sekitar sungai petani. para hadirin yang sedang beratur di tengah sawah tadi harus berlari ke arah rumah pengantin sambil mengelak-elak periuk api yang telah ditanam. sambil itu, beberapa menteri-menteri utama malaysia kelihatan bermain kompang di sepanjang jalan.

12.30 tgh - bunga telur diberi kepada hadirin yang terselamat dari larian periuk api. kelihatan kedua2 pasangan pengantin muncul dari bawah tanah menggunakan peralatan khas hollywood. sedang pengantin berjalan menuju ke jinjang pelamin, muncul seekor harimau dari sudut halaman rumah. pengantin lelaki terus mengeluarkan keris hulu tajong bangsa agong beliau dan menghalakan kepada harimau tersebut. harimau itu lantas berdiri dengan dua kaki dan membuka zip. ohh..costume rupanya. pengantin bersalaman dengan stuntman tersebut.

1 tgh - makanan tengahari dihidangkan dari belon udara dan zeppelin yang berlegar-legar di udara. di samping itu juga, dalam 25000 ekor burung serindit local yang terlatih mula membentuk perkataan 'selamat pengantin baru' di udara.

(bersambung)

beginikah maksud anda dengan tema?

Tuesday, August 25, 2009

faktor 'sikit-banyak' dalam teori nafsu dan deria rasa. jangan takut. benda simple.

semalam hari sungguh panas. jika dipecahkan telur atas jalan raya pasti masak jenis telur goyang. suhu udara juga panas mencecah 350 valve 14 gig, dan jika memandu boleh nampak ilusi air di atas jalan raya di hadapan. jadi di atas jalan raya ada telur goreng dan juga air. sungguh tergoda.

tapi seperti biasalah, itu tak penting. pointnya hari semalam panas.

jadi, dalam pukul 5 petang, beberapa teman sepejabat ajak pergi ke Giant. nak beli tv katanya. tak tau kenapa nak beli tv bulan ramadhan ni. mungkin dia nak ikuti perkembangan sembahyang terawih dari mekah. atau nak ikuti siri bersiri Naik Tangga Turun Tangga.

lalu saja di hadapan penyejuk beku bahagian minuman, aku berjalan rapat dengan barisan air untuk menyejukkan suhu badan serba sedikit. lalu aku nampak vitagen purple.

----------------------------------------

7.15 mlm, aku bersedia untuk berbuka di rumah. aku bukak 3 daripada 6 botol vitagen yang aku beli dan tuang dalam gelas besar. dah lama aku nak buat macam ni. akhirnya.

masuk waktu saja, aku terus telan air sambil buat muka puas.

cis.
memang vitagen kalau banyak, jadi tak sedap.
aku tuang balik dalam botol, minum pakai straw kecik.

Monday, August 24, 2009

Ucapan Selamat Berpuasa kepada Semua

Selamat Berpuasa kepada Semua

Thursday, August 20, 2009

Analisa perlawanan oleh sekretari persatuan bowling dunia (WBA), Jennifer Ashton

Assalamualaikum.

Malam semalam saya telah menyaksikan satu perlawanan bowling tertutup dari cctv yang ditempatkan di Bowling Kuantan Plaza. 3 lanes telah menarik perhatian saya dari awal hingga tamat permainan. seperti yang anda tahu, kesemua pusat bowling dunia mempunyai cctv yang berpusat di Vietnam. kebetulan saya yang bertugas mengawasi permainan semalam dan telah tertarik kepada semua individu yang terlibat.

Untuk memenuhi tanggungjawab saya sebagai seorang ahli bowling terkemuka. saya menampilkan komen secara individu kepada mereka.

Ery - kali pertama saya melihat beliau, saya berasa bangga dengan kadar strike beliau. oh, maksud saya kadar 'striking' kasut beliau yang berwarna pink. namun stelah melihat gaya permainan beliau, saya menakrifkan bahawa dia tidaklah sehebat mana walaupun membawa bola sendiri. ini macam bukan menjadi ukuran kerana kadang2, budak2 sekolah pun ada bawak bola tersendiri. namun, secara keseluruhan masih boleh diperbaiki.

Su - su kadang-kadang lebih menekankan gaya pergerakan alunan rambut beliau berbanding fokus kepada permainan. ini menyebabkan beliau kelihatan tenggelam kecuali semasa membuat gaya pasukan (meletakkan tangan beramai-ramai dan menyebut 'hooowww') . sungguh menjengkelkan gaya pasukan tersebut. beberapa strike tidak sengaja dapat dilihat.

Ira - bentuk ukuran badan yang semulajadi tinggi memberi advantage kepada pemain ini. kemungkinan besar hasil dari tangan yang panjang, bola beliau bermula dari tengah lane. beberapa strike telah dilakukan, hasil dari pergerakan badan yang tidak mementu namun lebih kepada strike tidak sengaja. mungkin nasib berpihak kepada beliau malam semalam. cetakan komputer mengatakan bahawa jatuhan pin terbanyak diberi kepada Ira. kemungkinan sistem komputer menghadapi masalah semalam.

Sara - semalam sara kelihatan menghadapi sindrom BCKL ( Bola Cenderung Kepada Longkang). Ini mungkin faktor seluar jeans beliau yang belum kering sepenuhnya. namun beberapa pin kelihatan jatuh juga. gaya sarah juga lebih kepada gaya berbasikal daripada gaya bermain bowling. namun sedikit sebanyak dapat dilihat potensi beliau. secara keseluruhannya beliau banyak bergantung pada ahli pasukan lain yang rata-ratanya membuat balingan nasib baik semalam.

Jaa - Ja, dengan gaya berjaket sambil bermain bowling semalam, nampak lebih kepada supervisor ladang sawit berbanding pemain professional. bermula dengan banyak balingan yang disia-siakan ke dalam longkang, beliau mula mendapat rentak. beberapa kali beliau terpijak tali kasut sendiri semasa balingan, dan tidak sengaja melakukan strike. insiden ini amat tidak patut namun beliau berkali-kali berbangga dengan strike tersebut. anda boleh juga lihat analisa berat sebelah beliau di sini.

Ayu - ayu telah bermula dengan amat baik, iaitu dengan pergi ke Bowling Megamall sedangkan ahli lain semua tengah tunggu di kuantan plaza. apa yang menjadi perbualan ialah motif beliau mengambil lajak, sedangkan apabila sampai di depan, beliau menghayun-hayunkan seperti bermain guli. mungkin hasil dari sokongan pasangan percintaan beliau iaitu Ja, beliau berjaya menghasilkan strike juga. beliau juga banyak menggunakan strike Ja sebagai point berbangga, sambil cuba menutup kelemahan beliau.

Mai - mai yang mendapat kedudukan tercorot, juga mempunyai sindrom BCKL (sila rujuk Sara). Apabila pemain lain seperti Haris Abadi bersorak apabila membuat balingan strike, beliau bersorak hanya kerana bolanya menyentuh pin. apabila tidak sengaja melakukan spare, beliau kelihatan taksub dan menangis bangga dengan gaya balingannya sendiri. apabila dipersoalkan mengenai keputusan yang corot, beliau menukar topik kepada cerita kulit mukanya yang menggelupas.

Uncle - dengan gaya bersahaja, uncle mempunyai potensi sebagai pemain bowling peringkat daerah. namun seperti biasa, banyak juga balingan yang disia-siakan. mempunyai girlfriend yang bekerja sebagai seorang warden penjara, uncle nampaknya mempunyai daya tumpu yang tinggi hasil dari hubungan percintaan yang penuh dengan disiplin. ada juga melakukan strike, namun kebanyakan pemain mengesyaki cermin mata beliau dipasang alat berteknologi tinggi yang membantu beliau membuat balingan.

Haris - mempunyai gaya bertaraf olimpik. Banyak balingan longkang dibuat dengan sengaja, mungkin untuk menjaga hati kawan-kawan yang tidak pandai. demi membantu pasukan, beliau kelihatan membuat strike bertaraf 5 bintang pada saat akhir. dalam saat genting, beliau masih mampu keluar menghisap rokok dengan Ja di luar.

Nana - Nana cuba membuat beberapa gaya lentok yang manja di hadapan lane, namun tidak berjaya mengganggu konsentrasi pihak lawan. namun gaya kaki kanan terlentok manja beliau telah mengganggu beberapa pemain lelaki yang memang tidak pandai bermain pun. walaupun balingan berat ke longkang, beliau pandai berlakon seolah2 tidak sengaja. berpotensi.

Mimi - mimi membuktikan bahawa permainan ini telah ditentukan oleh kumpulannya. dengan menggunakan bola yang lebih berat dari kepalanya sendiri, mimi telah membuat strike berturut-turut dan mengejutkan banyak pihak. walaupun gaya beliau tidak seimbang, namun kehadiran strike yang berturut-turut telah menggugat kumpulan lain. berpotensi.

Izu - menggunakan motto 'budi bahasa budaya kita', balingan-balingan izu telah membuatkan pemain lain geram dan sentap. balingan lembut izu malah tidak menghasilkan bunyi semasa bola menyentuh lane. walaupun mempunyai berat badan yang sama dengan keberatan bola 14, izu banyak juga membantu kumpulannya mengumpul mata. berpotensi.

semoga saya dapat melihat permainan yang lebih menarik pada masa depan.
yang benar,
Jeniffer Ashton,
sekretari persatuan bowling dunia.

Monday, August 17, 2009

gambar kad kahwin versi tak clear. untuk yang lebih clear sila email kat aku alamat korang.



tampil dalam bentuk hitam flat yang menawan, kad ini ditambah dengan hot stamping berwarna chrome menampilkan tipografi nama bakal pengantin, lantas di matte laminate dengan kadar sederhana. terdapat juga sekilas muka kedua mempelai di dalam sebagai kenang-kenangan untuk anda. walaupun kad ini kelihatan seperti penganut design dari Graniph dan TheDesignersRepublic, namun mengetengahkan ciri-ciri tempatan dan keIslaman dengan hadirnya corak arabesque yang minimum dan tulisan khat.

bukan untuk dijual. kawan-kawan yang mengenali, atau hanya sekadar pernah bertentang mata jangan segan silu untuk menghantar alamat anda ke handphone saya ataupun email terus ke durian959@yahoo.com

jangan ketinggalan untuk memilikinya!

terima kasih

pengalaman fantasi di studio jamming

cerita ini pendek saja.

aku duduk di birai stage yang terletak sebiji drum di atasanya. tangan aku mencapai gitar yang bertajuk fender. ku petik2 talinya. kedengaran bunyi perlahan hasil dari getaran tali. huh! ini tak cukup power ni. aku sambungkan cable ke gitar.

kitorang baru masuk ke bilik jamming ni, sewa sejam. alah, Sabaruddin anak Kak Mah, tokey studio ni biasa bagi kami lebih sejam. kadang-kadang sampai dua jam. dia takde hal punya.

aku setting-setting gitar. bunyinya memang lain macam. tak sedap. aku perhatikan pedal dekat kaki aku. pedal ni nampak baru lagi ni. mana dia beli aku tak tahu.

aku pijak pedal tu. aku kasi strum sekali. bunyi sama saja. takde beza. kenapa ya.

aku cabut cable pada amp, aku masuk balik. aku pijak pedal. aku strum lagi.


masih takde beza.


aku tengok pedal tu. rosak ke?

aku toleh ke tepi. Hismul tengah makan nasi dalam polisterin. bersungguh benar dia. nak jugak bungkus makan dalam studio. aku cakap makan lepas jamming dia tak nak. katanya dia perlu makan nasi. baru dapat tenaga nak main Children of Bodom.

tanpa membuang masa aku terus sound dia "Hismul, kau ni makan elok-elok boleh tak? sampai bersepah2 makan. ni, baik kau ambik balik ni pedal ayam kau yang jatuh ni. aku dah terpijak banyak kali tau tak!"

Lalu Hismul ambik balik pedal dia dan letak dalam polisterin.

sekian cerita rekaan aku untuk hari ni.

Monday, August 10, 2009

new malaysian essays 1


Masa belajar dulu, Puan Fadilah pernah kata, kalau buku bawah 50 ringgit tu, jangan la potostat. kesian kat penulis. kalau lebih 50, dan nak pakai sangat ilmu dalam tu, potostat lah. masa tu aku memang setuju dengan Puan Fadilah. (tak payah nak ambik serius, kami pelajar art memang selalu miskin)

buku yang gambar di atas ini, aku beli mula-mula kerana :

a. gambar cover - painting Ahmad Fuad. aku budget buku art pada pandang pertama
b. kerana ada Amir Muhammad dan Saharil. yang lain aku tak kenal.
c. kerana belekan pertama aku, aku sudah jumpa perkataan cib*i dan cip*p (dalam bentukpenguasaan ilmu ya - bukan sumpah seranah) jadi maknanya buku ini nampak 'bebas'.
d. berbentuk sejarah dengan kewujudan esei-esei english panjang. boleh buat ubat kepada insomnia.

tapi memang celaka. buku ni best la pulak. dan tak mahal. aku rasa untuk penulisan salah seorang dari mereka saja sudah berbaloi untuk beli rm30.

format penulisan baru dan segar. Brian Yap punya footnote boleh penuh satu page. saharil punya style boleh buat nangis gua tak tipu. ada juga gambarajah-gambarajah ala power point mengenai taktik branding mamak.

sonia randhawa, lu punya esei gua tak baca lagi. tapi nampak macam boleh buat ubat insomnia. aku try tengok nanti.

babi. kau nak aku tulis banyak mana? beli la sendiri kalau nak tau.

assalamualaikum

Thursday, July 30, 2009

Janda ganas anak 3

beberapa minggu ni aku tak sempat nak tulis blog baru. dan sekarang aku akan dedahkan benda yang menyusahkan aku baru-baru ni.

sebelum ni aku terperasan, sebelah rumah aku ni ada satu janda sudah lepak. Sebelum ni tak nampak pulak. dan aku tak pulak main tuduh je dia ni janda. sebabnya memang laki dia mcm tak wujud pun. dia je yang wujud. dengan 3 anak yang masih kecil dan tak reti buat ape lagi. tapi semua dah boleh berjalan la. Janda ni, tak dapat dinafikan, mempunyai muka yang bengis. kadang-kadang kalau aku perasan yang dia tengok aku berjalan nak masuk rumah, aku akan buat-buat tak nampak. kalau boleh aku nak elakkan dia nampak aku. hui, risau aku. Kewujudan dia memang misteri. dah la aku selalu nampak dia selongkar-selongkar sampah kawasan kejiranan aku. kumpul tin aluminium kot. tapi aku tak peduli. tak nak masuk campur.

Masalahnya, nak dijadikan cerita hari tu aku balik dari KL sampai rumah pukul 1 pagi. aku memang letih gila. kalau la ada orang datang ajak bergaduh tiba-tiba memang aku menangis je terus time ni.

Maka dengan mengantuknya, aku angkat barang-barang dari dalam kereta. Laptop, beg galas, beg bimbit, beg tangan (saja aku tambah bagi nampak kelakar) Lepas tu aku angkat plastik-plastik buku, kacang yang tak habis makan, dan macam-macam lah. banyak la pulak barang time-time letih ni!

Dalam kegelapan dan kesunyian malam tu, aku ternampak kelibat bergerak-gerak di sebelah rumah aku. kecik-kecik semuanya.

'eh, anak-anak dia tak tido lagi ke time ni?' pikir aku. 'jangan buat hal sudah'

dengan tak semena-mena terdengar jeritan yang kuat. terkejut aku. ketiga-tiga anak dia menjerit ganas kat aku. aku terkejut gila. tercampak kacang dalam longkang. gampang, banyak lagi pulak tu. Aku berjalan perlahan- lahan. 'memang nak kena lempang tiga-tiga ni' kata aku.

sekali mata aku tertumpu kat satu kelibat yang lebih besar lari menuju aku sambil menjerit tak tentu hala! alamak! mak diorang! aku terkejut gila, aku lari masuk kereta, start dan blah terus. aku bawak kereta sambil tengok side mirror sampai restoran kat simpang, lalu aku parking dan rilek sampai aku hilang panik. aku dengar lagu menenangkan fikiran sambil tarik nafas panjang-panjang. tokey kedai tu usha aku dari dalam restoran dia. apahal ntah, macam tak pernah tengok orang drive sambil galas 3 beg sekaligus?!

lepas aku dah tenang, aku drive slow-slow sampai depan pagar rumah aku, (betul-betul depan pagar). aku matikan kereta, terus lari dan kunci pagar cepat2. jantung aku berdegup-degup lagi.

dah masuk dalam bilik baru la hati aku tenang betul. aku tak tau nak repot kat sape benda-benda macam ni. Jabatan ape aa yang ambik tau benda macam ni? Jabatan perhilitan? bandaraya? jabatan haiwan liar?

lega aku selamat malam tu. Aku memang tak boleh blah betul kalau berhadapan dengan anjing macam ni. nanti aku nak make sure pihak yang berkenaan datang kutip semua 4 ekor tu. bahaya kat budak-budak kalau dibiarkan.

(ok, sekarang kau pegi baca balik dari atas )

Thursday, July 23, 2009

cikgu terkilan

sempena hari guru ni, aku akan menceritakan pengalaman aku semasa jadi cikgu ganti hari tu. eh, hari guru berapa hari bulan?

selepas ditendang secara terhormat oleh UTM, aku mula cari inisiatif untuk bekerja ala-kadar. Lagipun lepak rumah pun rasa terhina je. nak bangun tido lambat, nampak sangat tak insaf-nya.
nak rajin-rajin sangat kang, kena sound pulak tak pasal-pasal. jadi setelah di ejas oleh Makcik Maya anak Mail Kerbau merangkap jiran depan rumah, aku diterima bekerja di stesen minyak beliau sebagai pengisi minyak sepenuh masa.

dalam masa seminggu saja, aku bercadang untuk berenti kerja. ini kerana, aku telah dilarang membuat benda melalaikan semasa menunggu kereta di petrol pump. kata bos, aku mesti melambai kereta yang takde minyak untuk datang mengisi minyak. apa dia ingat aku termometer ke nak buat macam tu? malah membaca suratkhabar adalah benda yang salah. apatah lagi aktiviti-aktiviti lasak macam mengetip kuku. Ini belum masalah nak isap rokok lagi. takkan tiap-tiap hari aku nak buat-buat berak sampai 18 kali? kalau aku bos pun aku suspek.

aku berenti kerja terus setelah mak aku telepon - bahawasanya ada cikgu english bersalin di sekolah dia. maka, dengan menyambar posisi beliau, bermulalah era aku sebagai seorang cikgu ganti yang berwawasan.

pagi itu aku datang sekolah dengan kepala botak. mesti nampak gangster. baru macam Onizuka.
dan dengan kemeja kotak-kotak yang baru beli kat Pasaraya Pantai Timur semalam, aku menyanyi negaraku bersemangat, sampai terkeluar terkeluar air liur.

pengalaman bersemuka kali pertama dengar pelajar-pelajar darjah 4 memang menaikkan adrenalin aku. memang aku tak reti nak intro. seperti yang kita tahu, tahap intro memainkan peranan penting dalam hidup, lebih-lebih lagi semasa berak di tandas awam. di masa introlah kita harus bersedia untuk membuat bising dengan memancutkan air paip ke pintu. jika tidak pasti terdedah keburukan. ah, itu tak penting sebenarnya. yang penting, aku intro dengan bergaya di ketiga-kelas.

Sebelum balik sekolah hari tu, aku cuba memberi cadangan kat budak-budak,

"tu, ruang belakang kelas tu, jadikan sudut bahasa inggeris. semua gotong royong bersihkan dan cantikkan. nanti Sir nak tengok. paham!"

macam biasa, budak sekolah mana yang nak dengar cakap cikgu dalam masa 15 minit sebelum balik. diorang tengah fokus nak pegi main berebut tiang je time tu. cilake. aku pun buat tak endah gaya onizuka.

keluar pagar sekolah aku terus menuju kedai Mak Su depan sekolah. plan nak beli jeruk mangga, tapi disebabkan pakai kemeja smart, aku duduk kat meja dan order air kategori cikgu-cikgu.

"mintak teh ais kurang manis satu. semut letak asing" kata aku bergaya. Maksu usha maut.

sambil aku minum aku tengok beberapa orang student kelas aku berjalan masuk ke dalam denai ladang getah, dengan berpeluh-peluh mengangkat beg yang dah dekat-dekat sama besar dengan sofa.

"macam ni la kalau mengajar luar bandar. kesian betul budak-budak ni. takpe, besok aku akan ejas susu coklat RMT lebih kat diorang" pikir aku sambil tengok Maksu hidang teh ais aku. sialan! siap ada kelkatu lagi dalam tu.

...........................


Esoknya lepas rehat, aku tengah lalu tepi kelas C, terdengar kecoh-kecoh. Di belakang kelas diorang semua tengah riuh rendah.

"wah! dah mula gotong royong." kata aku, senyum.

aku masuk dan menuju ke belakang kelas, eh lain macam diorang berkumpul ni. takkan la gotong royong buat bentuk bulatan macam ni? takkan la kecik-kecik dah pandai buat-buat kata semangat sebelum start gotong royong? dengan penuh tanda tanya aku mencelah ke tengah dalam kebusukan budak-budak ni. biasalah budak sekolah, mulut sape tak bau keropok lekor lepas waktu rehat?

akhirnya aku tau bahawa tujuan perhimpunan ini adalah untuk menyaksikan perlagaan kumbang tanduk. cilake! masalahnya, aku tengok kumbang tu dua-dua ekor tak bergaduh pun, jalan rilek-rilek saje. penonton-penonton yang bergaduh lebih. lepas aku soal siasat dan jentik telinga peserta-peserta, aku chow.

petang itu, sambil minum teh dan pekena rokok sebatang-dua di kedai Maksu, aku rasa nak campak kasut dekat geng-geng yang masuk ladang getah tu!

Thursday, July 16, 2009

teringat aku pesan cikgu

1997 - Dewan Peperiksaan SDAR - PMR - Kertas Bahasa Melayu

aku tengok sudut 45 darjah depan aku. Kamel duduk menyendeng ke kiri. kertas jawapan dia tertutup. ah, sial Kamel. sia-sia aku belanja dia nasik lemak pagi tadi. janji nak open kertas jawapan kalau dengar aku berdehem. Dah la tak nak layan nasi lemak kosong. siap mintak telur mata pulak tu. Lepas tu nak demand lagi, nak telur goyang.

Masa dah nak abis. tinggal 15 minit je lagi. peluh dingin meleleh. telur aku pulak yang goyang. sialan Kamel!

aku nekad. Aku nak berdehem yang paling kuat. Baru setting-setting tekak, terdengar kletup-kletap kasut tumit tinggi berjalan dari belakang aku. terus aku cancel berdehem. aku buat-buat tengah baca soalan.

"ah, aku putus asa lah dengan kamel." lalu aku fokus balik dekat soalan nombor 12 tu. tinggal ini je soalan yang paling susah :

12. Mak Minah tidak pergi ke pasar ___________ dia sakit perut hari itu.

A. Kerana
B. Sebab
C. Dan
D. Disebabkan

Aku baca soalan ni banyak kali sampai aku dah rasa pelik dengan bunyi-bunyi bacaannya. aku dah tahap tergelak dengar perkataan 'sebab'. ada juga perkataan yang bunyi mcm ni.

Ah! Aku tau mcmane nak buat. teringat aku pesan cikgu.
Ya, pesan cikgu!

Aku tutup mata..
fikiran aku menerawang jauh. masa tu aku 6 tahun. anak jiran sebelah datang bawak pinggan mangkuk plastik kecik2 warna pink. kitorang lepak kat meja batu luar rumah. lepas tu aku isi pasir dalam pinggan, lepas tu petik daun jambu buat-buat mcm lauk ikan. lepas tu pulak pura-pura makan..

pooff! aku kembali ke dewan peperiksaan. aku tersenyum. aku pun cuba menjawab soalan 12 tadi dengan bergaya.

alamak..masih tak boleh..tak tau jawapan.
memang tak tau. tak paham.

masa tinggal seminit. Kamel kemas2 kotak pensel besi geometry set.

Cikgu aku cakap, fikir masak-masak, pasti dapat jawab soalan dengan senang.


kenapa aku buat tak jadi pun cikgu?

Sunday, July 12, 2009

review : KACIP oleh pipiyapong

pagi itu aku sampai ke opis, di atas meja sudah ada satu sampul surat. yes, aku kata dalam hati - bukan kerana aku tau buku blog 'Kacip' dah sampai tapi sebab aku berjaya melakukan pembelian melalui internet yang pertama aku sepanjang 27 tahun aku hidup.

perkara pertama yang menjadi ukuran adalah ketebalan sampul surat tersebut, sungguh menghampakan. nak kata aku dapat kad jemputan kawin, takkan la kad jemputan kawin pun nak buat 30 - 40 page. melampau. jadi, dari awal-awal lagi hati aku dah berbisik : tebal ni je buku yang berharga 20 ringgit? aku koyak sampul surat sampai hancur2.

jadi, terserlahlah buku tersebut di depan aku, dengan gambaran manusia menghisap rokok kat depan. aku duduk, dan baca.

jadi, beginilah. setelah aku baca semuanya, aku rumuskan bahawa Pipiyapong adalah seorang manusia yang jenis reti nak buat roller coaster. dia tau kat mana nak letak penyudah, di mana nak letak waktu kemuncak dan bagaimana nak twist. EQ nya buleh tahan. dan pengalaman hidup yang bersimpang siur dan bersepah beliau menambahkan lagi vokabulari-vokabulari yang kadang2 kita tak dapat jangkau. contohnya seperti ayat :

'Bila nak blah, jam dah pukul 2.30 pagi. Selesai bagi penghormatan pada otai-otai, gua ke motosikal berkuasa rendah gua. Gua hidupkan enjin. Boleh tahan juga dia punya bunyi. Lebih ke bunyi kilang papan.'

persamaan antara bunyi motor dan kilang papan adalah satu pernyataan yang akan dinyatakan oleh seorang yang mempunyai pengamatan yang tinggi. dan mungkin juga orang yang bijak dalam teori relativiti. untuk ayat itu saja aku sudah bagi A+ pada daya imaginasi dan vokabulari contoh Pipiyapong.

kemudian, dari satu ayat yang lain pula seperti :

"Kumur, kumur, kumur kaw kaw, kumur padu, kumur air banyak, kumur air sikit, masih tak berjaya. Aku mula berang. Aku cuba lagi"

ini adalah ayat yang membuahkan gelak yang paling besar aku di opis semaca sedang membaca. sehingga menjadi perhatian bos. cilaka pipiyapong. pengamatan beliau mengenai hidup manusia terserlah. di saat ini aku mula cemburu. aku pun kadang2 menulis berkenaan benda sebegini, dan sudah pasti dianggap meniru stail dia kelak. ye lah, aku pun berkumur air sikit, kumur air banyak tapi aku lalai untuk mengangkat perbuatan itu menjadi satu penulisan ilmu. tapi ternyata dia mampu berkongsi gaya hidup manusia normal, dan dengan yakin mengetengahkan cerita tersebut untuk menyentuh memori-memori absurd manusia yang biasanya hanya terselit di celah2 dasar hati dan hanya menunggu masa untuk hilang.

sememangnya kacip adalah satu recommendation walaupun sudah habis dijual. aku cadangkan kalau member ada beli, bolehlah pinjam dan baca. bahagian-bahagian kelakar tu hal lain - tapi yang bagusnya, keupayaan beliau bercerita, bukan saja dengan detail, tapi dengan contoh-contoh dan penguat ayat yang kadang2 berkias, kadang2 sinikal. sebab itu kalau baca jangan pergi ke klimaks cerita terus. baca perlahan2. sebab tiap2 ayat adalah benda yang refresh. ya, yang refresh memori. jika kita komputer, kacip buleh jadi butang F5. tahniah untuk Pipiyapong. mungkin dia dapat pahala dari penulisan beliau.

aku malas nak cerita panjang. sikit2 jadi.

lagi pun nipis je pun. sekali baca terus habis.

cilakak!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...